Bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan, berkata pengundi Melayu kini mahu pemimpin yang tenang dan sederhana, memberikan kelebihan kepada Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, jika beliau dinamakan calon perdana menteri menjelang PRU16.
Menurut Shahril, landskap politik semasa menunjukkan masyarakat bosan dengan retorik agresif dan 'sembang deras' ahli politik. Kriteria utama yang dicari pengundi Melayu adalah kredibiliti, kebolehpercayaan, dan sifat rendah diri.
“Jika pembangkang meletakkan Samsuri sebagai calon perdana menteri, beliau akan memanfaatkan sentimen ini kerana beliau mewakili segala-galanya yang bertentangan dengan apa yang memuakkan pengundi sekarang,” katanya dalam satu forum malam tadi.
Shahril turut mempersoalkan keengganan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengubah gaya komunikasi yang sarat dengan retorik berapi-api. “Mungkin beliau lebih tahu keadaan di padang, namun apabila terlalu lama berkuasa, ada kalanya pemimpin boleh terlepas pandang isyarat ini,” katanya.
Beliau meramalkan PRU16 bakal menjadi pilihan raya pertama yang tidak lagi bersandarkan elemen 'inspirasi' atau janji perubahan luar biasa. Era pemimpin melaungkan retorik 'pilih saya dan saya akan selamatkan anda' sudah berakhir, termasuk imej reformis yang dibawa Anwar.
“Pada PRU 2022, Anwar boleh membawa jenama perubahan. Tetapi sekarang beliau mahupun parti-parti lain tidak lagi boleh melakonkan watak seumpama itu secara kredibel,” katanya.
Beliau menjangkakan Pakatan Harapan akan meminta mandat penggal kedua atas alasan tidak adil menghukum mereka dalam tempoh singkat. Barisan Nasional pula akan kembali menjual imej 'parti kestabilan' yang cekap mengurus dasar dan hubungan kaum.
“Bagi Perikatan Nasional khususnya PAS, tema kepimpinan Melayu-Islam yang kuat dijangka kekal menjadi taruhan utama untuk menarik sokongan pengundi di kawasan majoriti,” katanya.



