Pegawai kanan imigresen antara 10 ditahan di Bukit Kayu Hitam
Pegawai kanan imigresen antara 10 ditahan di Bukit Kayu Hitam

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 10 individu termasuk seorang pegawai kanannya dalam ‘Ops Toyu’ di Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam. Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata tangkapan hasil risikan sebulan yang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki Thailand dipercayai ejen dikenali sebagai ‘Toyu’, selain seorang lagi lelaki tempatan bertindak sebagai transporter.

Operasi di Kompleks ICQS

Katanya, turut ditahan dalam operasi di sekitar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam itu, lima lelaki warga India, seorang lelaki Pakistan serta seorang pegawai kanan JIM yang dipercayai bertindak sebagai pemudah cara di pintu masuk negara.

Semakan Awal dan Rampasan

Katanya, semakan awal mendapati seorang warga India yang ditahan disenaraihitamkan, manakala warga Pakistan itu dipercayai menggunakan e-visa palsu dan semua warga asing lain dipercayai imigran larangan. “JIM turut merampas beberapa pasport, dokumen perjalanan, cap keselamatan imigresen, 12 telefon bimbit, wang tunai berjumlah 30,000 Rupee India serta beberapa kenderaan termasuk sebuah kereta Nissan Sentra dan dua motosikal.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Modus Operandi Sindiket

“Sindiket itu dipercayai membawa masuk warga asing terbabit dari Thailand ke Malaysia melalui laluan darat dengan bayaran RM1,000 seorang, manakala pemudah cara menerima RM400 bagi setiap pasport yang dilepaskan,” katanya dalam kenyataan. JIM percaya sindiket itu beroperasi sejak awal tahun ini dan menyebabkan ketirisan hasil negara kira-kira RM4.1 juta.

Siasatan Di Bawah Akta

Kes disiasat bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga