PAS dan Bersatu berebut kuasa PN kerana jenama masih laku
PAS, Bersatu berebut kuasa PN kerana jenama masih laku

PAS dan Bersatu dilihat cuba menguasai Perikatan Nasional (PN) kerana mahu mengekalkan penggunaan logo gabungan itu pada pilihan raya yang lebih menguntungkan berbanding bertanding di bawah panji sendiri, kata penganalisis.

Jenama PN masih kuat

Mazlan Ali berkata, jenama PN dilihat kukuh menerusi kemenangan 74 kerusi pada PRU15 dengan PAS menjadi pemenang terbesar apabila memperoleh 43 Parlimen berbanding 18 sebelumnya, selain membolehkannya menembusi pantai barat.

Menurut penganalisis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin juga mahu kekal menggunakan logo berkenaan susulan prestasi baik dengan lonjakan daripada 12 kerusi pada PRU14 kepada 31 Parlimen menerusi PRU 2022.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Untuk rekod, PAS bertanding di bawah logo 'bulan' pada PRU14 manakala Bersatu tidak pernah menggunakan panjinya sendiri sejak ditubuhkan kira-kira 10 tahun lalu. Pada 2018, calonnya bertanding di bawah tiket PKR sebelum PN.

“Bagi PAS, bila guna lambang PN, pengundi bukan Melayu tidak akan melihatnya dalam pemahaman tradisional selain hukum hudud yang diperjuangkannya sejak sekian lama.

“Pada saya, kedua-duanya akan menerima kesan jika bergerak tanpa PN,” kata Mazlan kepada FMT mengulas pertikaian antara PAS dan Bersatu yang berkisar soal pengasas parti serta kepengerusian PN selepas kerjasama politiknya tamat 8 Jun lalu.

Pertikaian kepimpinan PN

Presiden PAS, Hadi Awang, berkata pengerusi PN kini disandang Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar selain mendakwa nasib Bersatu pimpinan Muhyiddin dalam PN bakal ditentukan dalam mesyuarat partinya, esok.

Namun, menurutnya penyingkiran parti dalam PN bergantung kepada keputusan suara majoriti anggota komponen dalam gabungan itu yang turut dianggotai Gerakan serta MIPP.

Kelmarin, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata idea penubuhan PN dicetuskan Muhyiddin selain perlembagaan, logo dan proses pendaftaran gabungan itu digerakkan parti terbabit.

Beliau juga berpandangan, tidak wajar PAS terus menggunakan jenama PN pada pilihan raya kerana parti itu bertindak bertentangan dengan keputusan serta semangat gabungan berkenaan.

Pandangan penganalisis lain

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata logo PN mempunyai nilai politik tersendiri kerana berjaya membina identiti sebagai gabungan alternatif kepada kerajaan.

Beliau memberi contoh imej gabungan pelbagai parti memberi daya tarikan kepada PAS dalam meluaskan penyokongnya.

“Faktor itu menjadikan penguasaan terhadap PN semakin penting ketika hubungan PAS dan Bersatu dilihat semakin tegang,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga