Kita semua perlu prihatin terhadap lima jenis politikus muka tembok yang mewarnai lanskap politik tanah air. Walaupun saya seorang profesor bidang seni bina yang tidak pernah melalui kursus sains politik seperti rakan saya, James Chin, saya telah memerhati politik Malaysia dengan prihatin dan penuh minat selama 20 tahun. Salah satu latihan akademik seorang doktor falsafah, dalam bidang apa sekalipun, adalah mengenal pasti jenis-jenis isu, personaliti atau simptom dalam masyarakat.
Adapun satu jenis politik yang agak popular adalah politik lompat katak. Ramai yang menamakan Ibrahim Ali dan Zaid Ibrahim sebagai contoh terbaik politik semacam ini. Ada juga jenis politik kahwin tiga yang mana agak secocok dengan satu parti yang sekejap duduk di Muafakat Nasional, sekejap di Perikatan Nasional dan pernah juga dalam Barisan Alternatif. Tau-tau saja lah parti mana tu.
Dalam artikel ini saya ingin memperkenalkan satu lagi jenis politik iaitu politik muka tembok. Lazim kita semua ketahui simpulan bahasa muka tembok iaitu seorang yang tidak tahu malu. Makna lazimnya adalah seseorang yang mungkin tidak tahu apa yang dibuatnya itu tidak mengikut adab, ataupun sengaja tidak mengikut adab. Ada juga yang menjustifikasi kemukatembokan diri sendiri sebagai sesuatu yang berani. Dalam adab Melayu, peribahasa ini amaran atau nasihat kepada semua individu supaya beradab dalam masyarakat.
Apakah jenis-jenis muka tembok dalam politik negara kita?
Yang paling jelas sekali adalah ahli-ahli politik yang menjawat jawatan tertinggi seperti menteri, timbalan menteri dan ada juga timbalan perdana menteri. Mereka senyum-senyum mengambil gaji dan segala macam perks tetapi ahli-ahli parti mereka mula berperang dengan parti yang memberi mereka jawatan tadi serta perksnya. Tak malukah itu? Rupa-rupanya keadaan muka tembok ini dirasionalisasikan sebagai OK sebab di federal kita boleh tidur sekatil walhal di negeri nak duduk semeja pun haram jadah sekali. Maka itulah politik muka tembok pertama dalam penjenisan dan klasifikasi saya.
Politik muka tembok kedua adalah seperti beberapa orang ahli sebuah parti politik yang merajuk kerana kalah jawatan parti dan kemudian membuat podcast mengutuk rakan seperjuangan, parti dan presiden. Setiap podcast diaibkan parti sendiri hinggakan demonstrasi jalanan pun mulut sibuk berkicau memburuk-burukkan, bukan parti lawan, tetapi parti yang bagi makan sendiri. Ahli politik sebegini tidak rasa segan silu meraih segala ganjaran dan perks tetapi sedap saja mengata-ngata tangan yang memberi. Bagi mereka ini its OK sebab mereka nak membetulkan parti yang rosak dengan cara mewujudkan insaf dengan mengawamkan segala kelemahan, rahsia dan taktik parti untuk semua rakyat dan parti lawan.
Jenis politikus muka tembok yang ketiga pula adalah kawan-kawan politikus jenis muka tembok kedua tadi yang terhegeh-hegeh datang berceramah di pentas parti lawan. Katanya its OK sebab dapat jemputan dari old friend. Saya cukup tak faham perangai sedemikian. Kawan dia dah lama tinggalkan parti mereka dan sekarang bersama parti lain. Yang dia tu masih lagi menerima segala perks yang ada tetapi tak resign-resign juga mengikut kawan rapat tersebut. Di Parlimen masih pakai label parti sendiri tetapi niat di hati lawan parti demi kawan.
Seterusnya, politikus muka tembok yang keempat adalah yang masyhur dengan ekspresi I am your number one friend dan lepas itu lebih famous dengan kata-kata I am your number one enemy. Pulak dah! Macam-macam betul politik Melayu ni. Tak habis cerita! Jenis politikus ini adalah yang selalu jadi timbalan presiden sebuah parti tetapi dia sleeping dengan boss parti lain. Sebabnya supaya boss itu akan melantik dia jadi ketua pembangkang dua kali dan seterusnya mungkin boleh ambil alih kawan presiden partinya sebab dia dah jadi poster boy calon perdana menteri. Punyalah perasan dan tinggi nafsu. Tetapi politikus ini cukup efektif sebagai operator dan segala macam perkara dia buat biasanya berjaya.
Last sekali adalah politikus yang janji nak letak jawatan exco kononnya jika cadangan dia nak kawinkan partinya dengan parti lain ditolak. Sampai kiamat pun dia tak lepaskan jawatan lagi. Ahli politik sebegini pandai buat muka berang bila menuding DAP parti musuh Melayu tetapi bila tak letak jawatan sebagai disumpahkan sendiri, buat muka sedih kata menteri besar tak kasi berhenti. Pada hemat saya kalau dah nak berhenti seperti politikus jenis kedua tadi tak ada siapa yang boleh halang. Setahu saya politikus muka tembok jenis kedua tadi pun tidak dibenarkan berhenti oleh perdana menteri tetapi dia merajuk kuat sangat maka berhenti lah dia. Kemudian dia cukup hero sampai berhenti jadi Ahli Parlimen. Cukup hebat kawan kita itu yang sekarang menerajui dengan jayanya parti sendiri. Yang itu baru kita kata Jebat. Yang membentak-bentak kata nak berhenti tetapi masih tak berhenti elok-elok berhentilah perangai muka tembok sedemikian.
Maka kita semua perlu prihatin lima jenis politikus muka tembok ini, jenis 1, 2, 3, 4 dan 5. Mereka ini semua pewarna lanskap politik kita dan kita kena tahu yang mana kek sedap kerana ramuan terbaik dan yang mana nampak cantik tetapi makan warna sahaja.



