Gangguan Internet dan Subsidi Bahan Api Jadi Fokus
KUALA LUMPUR, 15 Julai — Gangguan akses internet dan kesan konflik di Asia Barat terhadap perbelanjaan subsidi bahan api negara antara isu utama yang dijangka dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang diterbitkan di laman web rasmi Parlimen, Datuk Anyi Ngau (GPS-Baram) akan bertanya kepada Menteri Komunikasi mengenai pelan komprehensif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menangani isu perkhidmatan internet tidak dapat diakses walaupun peranti mudah alih menunjukkan isyarat penuh.
Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) dijadualkan bertanya kepada Menteri Kewangan tentang penilaian terkini kerajaan mengenai kesan konflik di Asia Barat terhadap perbelanjaan subsidi bahan api negara dan bagaimana peningkatan kos subsidi secara keseluruhan boleh menjejaskan sasaran defisit fiskal tahun ini.
Kemudahan Pembiayaan Rumah dan Pusat Jagaan Ibu Bersalin
Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) akan bertanya kepada Menteri Kewangan mengenai langkah-langkah untuk memudahkan individu bekerja sendiri, peniaga kecil, penjaja dan pekerja gig mendapatkan pembiayaan rumah pertama mereka walaupun tidak mempunyai slip gaji tetap.
Yeo Bee Yin (PH-Puchong) akan mendapatkan penjelasan daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai kesediaan kerajaan untuk mewujudkan rangka kerja kawal selia nasional dan menggubal undang-undang baharu untuk mengawal selia pusat jagaan ibu bersalin.
Rang Undang-Undang Pindaan Komunikasi dan Multimedia
Selepas sesi soal jawab, Dewan Rakyat akan meneruskan pembentangan Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2026 untuk bacaan kali kedua.
Kedua-dua rang undang-undang itu telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin lalu (13 Julai). Sidang Dewan Rakyat kali ini dijadualkan berlangsung selama 16 hari sehingga 16 Julai. — Bernama



