Anwar enggan ulas perpindahan Rafizi dan Nik Nazmi ke parti baharu
Anwar enggan ulas perpindahan Rafizi, Nik Nazmi ke parti baharu

JOHOR BAHRU, 17 Mei — Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan beliau tidak mengikuti perkembangan politik terkini yang membabitkan dua bekas pemimpin kanan parti itu, iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Saya tidak mengikuti,” katanya ringkas selepas menghadiri Program Perdana Menteri Bersama Rakyat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara, Tebrau di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan bekas timbalan presiden dan bekas naib presiden PKR itu yang dilaporkan mengambil alih sebuah parti politik dikenali sebagai Parti Bersama Malaysia atau Malaysian United Party (MUP).

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

MUP merupakan sebuah parti politik yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Pulau Pinang.

Sebelum ini, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan hala tuju politik terbaharu mereka pada satu majlis di Petaling Jaya, Selangor, selain mengumumkan peletakan jawatan mereka daripada PKR serta mengosongkan kerusi parlimen masing-masing berkuat kuasa esok.

Rafizi, yang merupakan Ahli Parlimen Pandan, berkata beliau dan Nik Nazmi, Ahli Parlimen Setiawangsa, akan menghantar surat berkenaan keputusan itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Johari Abdul esok. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga