Amir Hamzah mohon mengadap Sultan Pahang minggu ini isu peruntukan persekutuan
Amir Hamzah mohon mengadap Sultan Pahang minggu ini

BALIK PULAU, 17 Mei — Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan mengadap Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam masa terdekat bagi menjelaskan isu berkaitan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri Pahang.

Komitmen Kerajaan Persekutuan

Amir Hamzah menegaskan bahawa komitmen Kerajaan Persekutuan adalah jelas dalam memastikan setiap peruntukan kepada negeri dibuat berdasarkan keperluan dan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya akan mengadap Sultan Pahang, insya-Allah, minggu ini untuk menjelaskan sedikit dan ini bagi memastikan semua pihak memahami apa yang telah kami berikan dan peruntukan yang disediakan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Saya tidak fikir ada masalah dengan perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pembukaan dan Penyerahan Blok Tambahan Kelas Prasekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan Tan Sri Awang Had Salleh di sini hari ini.

Usaha Meningkatkan Peruntukan

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan peruntukan kepada negeri dari semasa ke semasa, terutama melibatkan perbelanjaan pembangunan berdasarkan keutamaan semasa.

Pada 8 Mei lalu, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ketika merasmikan Majlis Pembukaan Penggal Pertama Persidangan Kelima Penggal ke-15 Dewan Undangan Negeri Pahang mempersoalkan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri itu.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan meminta Amir Hamzah memberikan penjelasan menyeluruh mengenai peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri Pahang untuk dikemukakan kepada Tengku Mahkota Pahang. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga