Terengganu bertindak berdasarkan fakta, bukan persepsi tentang Rohingya
Terengganu bertindak berdasarkan fakta, bukan persepsi Rohingya

KUALA TERENGGANU, 13 Jun — Kerajaan Terengganu menegaskan bahawa ia tidak akan bertindak terburu-buru berhubung kebimbangan mengenai peningkatan kehadiran komuniti Rohingya di negeri itu, sebaliknya akan menangani isu tersebut secara teratur, berdasarkan fakta dan mengikut undang-undang.

Pendekatan Berfakta Penting untuk Keselamatan

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata pendekatan sebegitu penting untuk memelihara keselamatan masyarakat, ketenteraman awam dan keharmonian sosial.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri memahami kebimbangan orang ramai terhadap kehadiran komuniti Rohingya di beberapa kawasan di negeri ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Bidang Kuasa Persekutuan dan Negeri

“Isu yang melibatkan warga asing merangkumi pelbagai aspek, termasuk kemasukan, dokumen perjalanan, permit kerja, status individu dan tindakan terhadap pendatang tanpa izin, yang semuanya berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan melalui agensi yang diberi kuasa.

“Dalam skop kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, tindakan yang boleh diambil adalah tertumpu kepada perkara pematuhan tempatan seperti lesen perniagaan, keperluan premis, kebersihan alam sekitar, gangguan awam, dan penggunaan atau pembinaan premis yang tidak mematuhi peraturan. Kerajaan negeri tidak akan bertindak terburu-buru atau berdasarkan persepsi semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Koordinasi Agensi Diperkukuh

Walaupun begitu, Wan Sukairi berkata kerajaan negeri akan memperkukuh koordinasi antara agensi, termasuk Jabatan Imigresen, Majlis Keselamatan Negara dan polis, untuk memudahkan perkongsian maklumat, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan yang diselaraskan mengikut bidang kuasa masing-masing.

Beliau berkata kerajaan negeri mengakui bahawa aktiviti penguatkuasaan di lapangan menghadapi cabaran tersendiri, termasuk isu berkaitan pengesahan dokumen, komunikasi, keselamatan kakitangan dan had bidang kuasa antara agensi.

“Ini memerlukan pendekatan yang lebih tersusun, berhati-hati dan berkesan untuk memastikan sebarang tindakan yang diambil tidak menyimpang daripada peruntukan undang-undang. Sekiranya terdapat pelanggaran yang melibatkan premis perniagaan atau aktiviti haram, tindakan sewajarnya akan diambil oleh agensi berkaitan.

“Oleh itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta melaporkan kepada pihak berkuasa dan tidak mengambil tindakan sendiri atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan yang boleh mencetuskan kekacauan,” katanya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga