Sultan Selangor titah terus utamakan kebajikan rakyat ketika krisis global
Sultan Selangor titah terus utamakan kebajikan rakyat

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan kerajaan negeri supaya terus mengutamakan kebajikan rakyat ketika berdepan krisis global.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata titah baginda itu disampaikan ketika mengadap Sultan Selangor bersama Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, di Istana Alam Shah, Klang.

Amirudin turut membentangkan perkembangan terkini Pakej Ketahanan Selangor yang dirangka bagi membantu rakyat dan sektor perniagaan yang terjejas akibat krisis di Asia Barat.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Semoga Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor terus dikurniakan kesihatan yang baik, kebijaksanaan, petunjuk dan kekuatan, serta tetap bersemayam di atas takhta kerajaan dengan kedaulatan dan kemuliaan negeri Selangor,” katanya dalam hantaran Facebook.

Pada 16 April lalu, Amirudin melancarkan Fasa 1 Pakej Ketahanan Selangor yang memperuntukkan RM130.42 juta sebagai langkah segera dan jangka sederhana bagi membantu rakyat dan industri menghadapi krisis tenaga global.

Antara lain, pakej itu bertujuan memperkukuh keselamatan makanan, mengurangkan kos sara hidup, dan membendung inflasi yang berlebihan.

Menurut Amirudin, pakej itu juga bertujuan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih meluas serta menyediakan bantuan bersasar kepada mereka yang paling terjejas. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga