KUALA LUMPUR: Selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan akan bertanding di semua kerusi, Perikatan Nasional (PN) juga akan meletakkan calon di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang. Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi PN, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata gabungan itu terbuka untuk mengadakan rundingan dengan parti lain bagi mengelakkan pertembungan kerusi sesama blok pembangkang.
“PN juga sedia bertanding di semua kerusi, tetapi kami mungkin terbuka untuk mengadakan perundingan dengan beberapa parti lain supaya pembangkang tidak bertembung,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat PAS selepas pelancaran Sekretariat Malaysia-Aid4Iran.
Tuan Ibrahim menambah, PN juga bersedia untuk berdepan dengan PH dan BN bukan sahaja pada PRN Johor, malah di negeri-negeri lain. Pada PRN Johor 2022, PN bertanding di 56 DUN namun hanya memenangi tiga kerusi.
Sebelum ini, Pengerusi BN Johor yang juga Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan gabungannya akan bertanding di semua 56 kerusi pada PRN. Susulan itu, Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, menegaskan bukan sahaja di Johor, gabungan itu juga akan bertanding di semua kawasan pada PRN mahupun Pilihan Raya Umum (PRU). Namun, presiden PKR itu berkata, masih ada ruang perbincangan sebelum keputusan muktamad dibuat.



