Krisis politik di Negeri Sembilan menjadi pengajaran berharga kepada Pakatan Harapan (PH) supaya sentiasa bertenang dan bersatu padu, kata Menteri Besar Aminuddin Harun.
Bercakap pada ceramah PH di Paroi malam tadi, Aminuddin berkata peristiwa yang menyaksikan 14 Adun Barisan Nasional menarik balik sokongan kepada beliau merupakan satu pengajaran penting.
“Apa yang berlaku ini suatu pengajaran kepada kita supaya kita sentiasa tenang, sabar, lihat, untuk kita jangan gelabah,” katanya.
Aminuddin mengakui beliau dan pimpinan PH terperanjat dengan peristiwa itu. “Saya berharap kepada semua ahli parti dan orang atar pagar maklum perkara ini.”
“Apa yang penting hari ini kita kena kuatkan jentera kita. Kita kena kuatkan saf kita — Amanah, PKR, dan DAP. Dalam PH ini harus kita bersiap sedia di Negeri Sembilan,” tegasnya.
Beliau juga menyeru rakyat Negeri Sembilan supaya bersiap sedia menghadapi pilihan raya, mendakwa pihak tertentu masih tidak berpuas hati.
“Kenyataan demi kenyataan mereka keluarkan seolah-olah kita terpaksa menerima,” katanya.
Krisis politik di Negeri Sembilan tercetus selepas semua 14 Adun Barisan Nasional menarik balik sokongan mereka kepada Aminuddin, atas alasan hilang kepercayaan. Adun berkenaan berkata keputusan mereka berkait dengan krisis melibatkan empat Undang yang berusaha menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Hari ini, jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, mengumumkan krisis politik telah selesai susulan pertemuan antara kepimpinan tertinggi BN dan PH, semalam. Beliau mengumumkan kerajaan perpaduan Negeri Sembilan akan terus berfungsi seperti biasa bawah pimpinan Aminuddin.



