Belia Malaysia kini nilai kerajaan berdasarkan prestasi, bukan retorik
Belia Malaysia nilai kerajaan berdasarkan prestasi, bukan drama

KANGAR, 23 Mei — Golongan belia Malaysia kini semakin matang dan bijak dalam menilai keberkesanan sesebuah kerajaan berdasarkan prestasi dan pencapaian negara, kata Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

Penerimaan positif terhadap kerajaan perpaduan

Beliau berkata penerimaan generasi muda terhadap kerajaan perpaduan sedia ada adalah positif, termasuk dalam kalangan belia luar bandar yang semakin peka terhadap isu semasa dan pembangunan negara.

Menurutnya, anak muda hari ini tidak lagi hanya fokus kepada retorik politik, sebaliknya menilai kerajaan berdasarkan prestasi ekonomi, peluang pekerjaan dan kestabilan negara.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Kepimpinan berorientasikan prestasi

“Apa yang penting sekarang adalah memastikan kerajaan menunjukkan kepimpinan berorientasikan prestasi. Kami mahu menonjolkan pencapaian yang dilaksanakan bukan sahaja di peringkat domestik, tetapi juga di peringkat Asean dan global.

“Walaupun dunia sedang menghadapi krisis global yang mencabar, Malaysia berjaya mengekalkan kadar pengangguran dan inflasi yang rendah serta terus menyediakan peluang pekerjaan yang baik untuk golongan muda,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Belia peringkat negeri sempena Hari Belia Negara 2026 di Dataran Lok 9, Kuala Perlis hari ini.

Keseimbangan kepimpinan veteran dan muda

Sementara itu, Dr Mohammed Taufiq berkata kepimpinan negara memerlukan keseimbangan antara pengalaman pemimpin veteran dan idea segar daripada pemimpin muda bagi memastikan pembangunan negara yang menyeluruh.

Beliau menegaskan bahawa kepimpinan muda tidak seharusnya diukur semata-mata melalui usia, tetapi juga melalui prinsip, idealisme dan kualiti kepimpinan yang dapat memberi manfaat kepada rakyat.

“Kami mahu melihat lebih ramai pemimpin muda yang berani bersuara bagi pihak rakyat dan tampil ke hadapan untuk membantu membangunkan negara,” katanya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga