Kumpulan pertama 329 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 1.13 pagi, menandakan bermulanya fasa kedua operasi haji bagi musim haji 1447H/2026M untuk menyambut kepulangan para jemaah ke tanah air.
Sambutan Menteri dan TH
Ketibaan mereka disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hassan dan isterinya Hanani Harun, serta Pengarah Eksekutif Pengalaman Pelanggan Tabung Haji (TH) Datuk Mohamed Ameen Abdul Wahab.
Kumpulan pertama yang terdiri daripada jemaah dari Selangor berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah pada pukul 11.31 pagi (waktu Arab Saudi) semalam, menaiki penerbangan Saudi Airlines (SV5004).
Ucapan Menteri
“Ketibaan jemaah haji pertama bermakna fasa kedua haji tahun ini telah bermula, iaitu fasa kepulangan jemaah haji kita. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan semua jemaah haji kita berada dalam keadaan baik.
“Terima kasih kepada semua petugas haji tahun ini, sama ada petugas TH atau Kementerian Kesihatan termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Malaysia Airport Holding Bhd, syarikat korporat dan semua pihak yang membantu urusan haji tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Ketibaan Jemaah Haji Penerbangan Pertama di sini hari ini.
Pencapaian Operasi Haji
Zulkifli berkata sasaran operasi haji tahun ini berjaya dicapai, antaranya TH menerima Anugerah Berlian Labbaikum, pengiktirafan tertinggi daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi untuk pengurusan dan perkhidmatan haji terbaik di dunia.
“Ini adalah anugerah tertinggi untuk pengurusan haji bermula dari kursus haji, pemeriksaan kesihatan jemaah, persiapan rapi, penerbangan, penginapan, logistik, makanan, keselamatan dan keseluruhan aspek operasi haji telah diisi dengan baik dan dilaksanakan dengan sangat teliti dan terperinci oleh TH dan semua pihak berkepentingan,” katanya.
Kesihatan Jemaah
Zulkifli memaklumkan bahawa sepanjang musim haji tahun ini, seramai 65 jemaah mengalami masalah kesihatan dan sedang menjalani rawatan di hospital, manakala 17 jemaah Malaysia terdiri daripada lapan wanita dan sembilan lelaki meninggal dunia di Tanah Suci, kebanyakannya akibat serangan jantung.
Beliau juga memuji sikap baik dan disiplin yang ditunjukkan oleh jemaah Malaysia sepanjang berada di Tanah Suci, sekali gus mencerminkan imej negara yang baik di mata masyarakat antarabangsa.
Katanya, jemaah Malaysia bukan sahaja menekankan aspek kebersihan, tetapi juga sentiasa mematuhi peraturan dan arahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan pengurusan haji.
“Malah, musim ini menunjukkan pencapaian yang lebih hebat apabila jemaah kita turut menjadi perintis dalam mengitar semula barangan untuk dijadikan produk berguna,” katanya.
Penghargaan kepada Media
Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas media yang bertugas di Tanah Suci dan di tanah air yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat berkaitan operasi haji kepada rakyat.
Beliau berkata liputan yang disediakan oleh pengamal media sepanjang musim haji tahun ini sangat baik dan membantu menonjolkan kecekapan pengurusan haji Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Melalui liputan yang disediakan, dunia dapat melihat sendiri bahawa Malaysia mempunyai sistem pengurusan haji yang cemerlang serta jemaah dan petugas yang sentiasa menjaga nama baik negara,” katanya.
Penerbangan Balik
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan oleh Amal melalui Malaysia Airlines dan Saudia Airlines untuk membawa pulang 31,600 jemaah haji ke tanah air bermula 3 Jun.
Penerbangan terakhir dijadualkan pada 1 Julai. — Bernama



