PETALING JAYA: Umno perlu mengakui kegagalannya dalam menguruskan Tabung Haji (TH) ketika memerintah, kata bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan, operasi dan kewangan dana itu.
Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata, tiba “masa untuk Umno bersikap jujur tentang kegagalan tadbir urus” dalam TH. Beliau menegaskan bahawa parti itu tidak boleh menggunakan alasan untuk menyembunyikan kelemahan dan kegagalan yang berlaku.
Alasan ‘pertahanan lemah’
Beberapa ahli Umno mempertahankan parti dengan mengatakan laporan RCI tidak membuktikan penyelewengan dana oleh mana-mana pemimpin politik. Ada juga yang cuba mengalihkan tumpuan daripada kegagalan tadbir urus dengan mengatakan TH masih mampu mengagihkan “hibah”.
Bagaimanapun, Khairy menegaskan bahawa alasan sedemikian adalah “pertahanan lemah” dan cubaan menghalalkan amalan tidak baik.
“Kalau kita mengakui ada kelemahan dan kegagalan urus tadbir dan juga tatakelola dalam Tabung Haji, orang akan kata, ‘Sekurang-kurangnya Umno adalah sedikit bibit-bibit perubahan, untuk bawa Umno ke arah pemulihan sebab mereka akui (kekurangan mereka)’.
“Kita tidak boleh menggunakan alasan sedemikian untuk menyembunyikan perkara ini. Apa kelemahan dan kegagalan kerajaan, kita mesti akui,” katanya dalam audio siar Keluar Sekejap malam tadi.
Laporan RCI mendedahkan jurang kewangan
Laporan RCI setebal 252 muka surat berhubung siasatan ke atas pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 dinyahklasifikasikan serta dikeluarkan Rabu lalu, selepas suruhanjaya itu menyiapkannya pada Julai 2022.
Hasil siasatan RCI antara lain mendapati TH menyembunyikan keadaan sebenar kewangannya selama bertahun-tahun, dengan melaporkan keuntungan RM3.4 bilion bagi 2017, sedangkan di bawah piawaian perakaunan betul ia sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion – jurang hampir RM4.8 bilion.
Peluang untuk Umno bermuhasabah
Hos bersama Khairy, Shahril Hamdan, berkata laporan RCI yang dinyahklasifikasikan itu memberi peluang kepada Umno untuk menunjukkan “kematangan, rendah diri dan menginsafi” segala kekurangannya.
Bekas ketua penerangan Umno itu berkata, parti berkenaan tidak boleh menganggap kemenangannya dalam dua pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini sebagai bukti ia tidak perlu mereformasi diri atau memohon maaf.
Katanya, Umno perlu sedar momentum yang dinikmatinya sekarang boleh berubah.
“Bila ada peluang untuk buat benda elok, anda tak buat, dunia atau Tuhan ada cara untuk menghukum anda. Jadi, jangan lepaskan peluang yang ada,” katanya.



