Umno perlu idea segar, bukan cuma muka baharu, kata penganalisis
Umno perlu idea segar, bukan cuma muka baharu

PETALING JAYA: Tidak cukup sekadar menggantikan pemimpin veteran dengan wajah baharu untuk Umno memenangi semula hati pengundi Gen Z dan Gen Alpha, kata penganalisis politik. Syaza Shukri dan Asrul Hadi Abdullah Sani berkata, parti itu juga mesti menawarkan idea baharu dan visi lebih jelas yang dekat di hati belia Malaysia.

Pengundi muda membesar saat BN merosot

Mereka berkata demikian susulan kenyataan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi bahawa parti itu semakin renggang dengan pengundi muda dan perlu dipimpin oleh barisan pemimpin generasi keempat berbanding ‘tokoh-tokoh dikitar semula’. Syaza daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, cabaran dihadapi Umno adalah ramai pengundi muda membesar semasa zaman kemerosotan Barisan Nasional (BN), bukan ketika zaman kegemilangannya.

“Mereka pengundi yang membesar melihat kejatuhan BN. Mereka tidak merasai kemuncak kuasa BN. Mereka perlukan tawaran baharu yang menunjukkan Umno sedang bergerak ke hadapan, bukan terus dibuai nostalgia,” katanya kepada FMT.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Isyarat mengelirukan Umno

Beliau juga berkata, parti itu menghantar isyarat yang mengelirukan apabila cuba menarik pengundi muda melalui agenda ekonomi dan usaha reformasi, tetapi pada masa yang sama masih bergantung pada naratif politik lapuk. “Malah penyokong muda Umno juga mahu melihat parti yang lebih berpandangan jauh berbanding parti yang bersandarkan politik berasaskan kaum,” katanya.

Syaza memberi amaran bahawa pengundi muda akan mempersoalkan sama ada Umno benar-benar memahami aspirasi mereka jika parti itu terus diterajui oleh generasi yang sama. “Jika golongan veteran sama terus memimpin Umno, pengundi muda akan meragui ketulusan mereka untuk melakukan yang terbaik demi generasi itu,” katanya.

Peralihan generasi dalam politik Malaysia

Asrul Hadi Abdullah Sani berkata, isu tersebut mencerminkan peralihan generasi yang lebih meluas dalam politik Malaysia, dengan pengundi muda semakin kurang terikat kepada kesetiaan tradisi parti. “Faktor usia semata-mata bukan penanda pembaharuan. Generasi pemimpin baharu harus membawa pemikiran baharu, keutamaan yang berbeza, dan gaya politik yang dirasakan relevan bagi anak muda Malaysia.

“Umno perlu memberi pengundi muda sebab untuk mengundi mereka, bukan sekadar sebab untuk menolak pihak lain,” kata Asrul yang juga naib presiden The Asia Group.

Retorik anti-DAP bukan strategi jangka panjang

Walaupun retorik anti-DAP mungkin masih mendapat sambutan daripada segelintir pengundi, beliau berkata, ‘rasa takut semata-mata bukanlah strategi politik jangka panjang’. “Umno telah menukar mediumnya, tetapi tidak cukup dari segi mesejnya. Kehadiran di TikTok bukan bermaksud mereka mempunyai mesej yang jelas untuk pengundi muda,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang lebih muda kini semakin khuatir tentang isu asas seperti gaji, pekerjaan, perumahan dan masa depan kewangan mereka. Justeru, mobiliti ekonomi ialah isu yang patut dimanfaatkan Umno untuk memenangi semula hati mereka.

Dinamika dalaman Umno

Mengenai persoalan mengapa Umno bergelut untuk melakukan peralihan tersebut, Asrul berkata, dinamika dalaman parti mungkin menjelaskan kebergantungan berterusan mereka pada naratif politik yang biasa didengar, walaupun demografi pengundi semakin berubah. Katanya, pemimpin muda mungkin lebih menonjol sekarang berbanding dahulu, tetapi dalam parti yang sangat berhierarki, mereka sering kekurangan kuasa untuk memacu perubahan bermakna dalam identiti, strategi atau keutamaan dasar parti.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga