Umno: Parti atau Persona 'Bossku'? Dilema Politik Malaysia
Umno: Parti atau Persona 'Bossku'?

Kenyataan Mohd Nazifuddin Najib bahawa kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan menjadi isyarat rakyat terus menyokong bapanya, Najib Razak, serta harapan terhadap pengampunan diraja, kembali menghidupkan persoalan lama: sejauh mana Umno masih boleh dipisahkan daripada fenomena 'Bossku'? Lebih daripada itu, kenyataan tersebut membuka satu perdebatan yang lebih mendasar. Apabila pengundi memilih BN, adakah mereka sebenarnya sedang memberi mandat kepada sebuah kerajaan negeri, atau keputusan itu akan terus dibaca sebagai isyarat terhadap nasib seorang individu?

Reaksi daripada Pihak Lawan

Reaksi daripada 'lawan yang juga kawan' pantas menyusul. Timbalan Setiausaha Agung PKR, G Sivamalar, menyifatkan kenyataan itu sebagai penghinaan terhadap kebijaksanaan rakyat Johor dan prinsip demokrasi. Manakala seorang lagi timbalan setiausaha agung parti itu, Aidi Amin Yazid, menegaskan PRN Johor tidak wajar dijadikan alat mengubah keputusan undang-undang atau memberi tekanan terhadap kes individu tertentu. Kritikan itu mungkin lahir daripada persaingan politik yang biasa, namun isu lebih besar bukan pada respons PKR, sebaliknya mesej tersirat yang dibawa oleh Nazifuddin sendiri — anak kedua Najib dan ketua Umno Langkawi.

Fenomena 'Bossku' dan Kebangkitan Semula

Fenomena ini bukan sesuatu yang baharu. Sejak kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, ketika ramai menjangkakan pengaruh Najib akan pudar, muncul gelombang 'Bossku' yang memberi nafas baharu kepada naratif politiknya. Melalui pendekatan santai, siri jelajah akar umbi dan penggunaan media sosial, bekas Ahli Parlimen Pekan itu terus mengekalkan pengaruh dalam kalangan penyokongnya walaupun tidak lagi berada dalam kerajaan. Ketika Umno berdepan krisis keyakinan selepas kekalahan paling besar dalam sejarahnya, naratif 'Bossku' menjadi antara elemen yang membantu menyatukan semula sebahagian penyokong dan mengembalikan sedikit keyakinan terhadap parti.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Dilema Antara Parti dan Individu

Namun begitu, apa yang berkesan pada suatu ketika tidak semestinya kekal relevan selamanya. Apabila kemenangan pilihan raya mula ditafsir sebagai isyarat sokongan terhadap pengampunan diraja, garis pemisah antara sokongan kepada parti dan sokongan kepada individu menjadi semakin kabur. Di sinilah timbul dilema yang sukar dijawab oleh Umno sendiri: adakah ia bertanding sebagai institusi politik berasaskan dasar dan pentadbiran, atau masih bergantung kepada pengaruh bekas presidennya? Umno sememangnya menghargai pemimpin yang pernah membawa kemenangan. Seperti mana-mana parti politik, jasa dan sejarah sukar dipadam daripada ingatan kolektif. Namun, politik hari ini tidak lagi bergerak atas nostalgia semata-mata.

Keutamaan Pengundi Masa Kini

Sebahagian besar pengundi, khususnya generasi muda, kini lebih menumpukan kepada isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, kestabilan ekonomi dan kecekapan pentadbiran berbanding sentimen lama. Dalam keadaan itu, usaha mengaitkan kemenangan BN dengan sokongan terhadap Najib membawa risiko yang tersendiri. Ia bukan sahaja boleh mengaburkan mesej parti, tetapi juga mengalihkan fokus perbincangan daripada dasar dan pentadbiran kepada isu yang bersifat peribadi. Pada asasnya, pilihan raya adalah medan rakyat memilih kerajaan untuk mentadbir. Sementara urusan seperti pengampunan diraja pula berjalan mengikut proses dan pertimbangan perlembagaan. Mencampurkan kedua-duanya hanya akan mengelirukan makna sebenar mandat rakyat.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Masa Depan Umno

Maka, di sinilah terletaknya dilema Umno. Jika naratif 'Bossku' terus menjadi sebahagian daripada bahasa politiknya, parti itu mungkin masih mampu mengekalkan sokongan dalam kalangan penyokong tradisional. Namun, pada masa sama, ia berisiko mengukuhkan persepsi bahawa kekuatan Umno masih bergantung kepada seorang individu, bukannya keupayaan parti menawarkan kepimpinan dan dasar yang meyakinkan. Ironinya, 'Bossku' pernah menjadi penyelamat ketika Umno berada di titik paling rendah selepas 2018. Tetapi pada 2026, persoalan yang lebih penting bukan lagi sama ada pengaruh itu masih wujud, sebaliknya sama ada Umno mampu membuktikan ia tidak lagi bergantung kepadanya. Selagi persoalan itu belum terjawab, setiap kemenangan BN akan terus mengundang tafsiran yang sama: adakah rakyat mengundi sebuah parti politik, atau sekadar mengesahkan pengaruh seorang tokoh? Antara parti dan persona. Itulah dilema yang masih menghantui Umno.