Tun Faisal dakwa sikap 'kuku besi' PAS semakin terserlah
PETALING JAYA: Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa sikap 'kuku besi' dan usaha PAS menguasai sepenuhnya Perikatan Nasional (PN) semakin terserlah selepas pengguguran Radzi Jidin dan Azmin Ali daripada jawatan utama gabungan. Ketua penerangan Bersatu berkata, langkah diumumkan Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar malam tadi adalah sebahagian 'permainan politik kotor' bertujuan melemahkan kedudukan partinya dalam struktur kepimpinan gabungan itu.
“Bukan lagi rahsia bahawa terdapat pihak dalam PAS yang berhasrat untuk menguasai PN sepenuhnya dan menyingkirkan Bersatu daripada gabungan tersebut. Hasrat ini telah beberapa kali dibayangkan oleh pemimpin tertentu. Kenyataan beberapa anggota Lajnah Undang-undang PAS serta jentera parti juga memberi gambaran ke arah itu, termasuk usaha menyulitkan pengeluaran watikah calon, memanfaatkan dominasi dalam majlis tertinggi untuk menekan Bersatu, serta mengetepikan peranan majlis presiden dalam proses membuat keputusan,” katanya dalam kenyataan.
Samsuri mengumumkan khidmat Radzi sebagai ketua pengarah pilihan raya PN dan Azmin, timbalan setiausaha agung ditamatkan serta-merta menerusi penstrukturan semula pentadbiran gabungan itu bagi menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Tun Faisal berkata pengguguran Radzi dan Azmin turut mengubah keseimbangan undi dalam MT PN jika berlaku pengundian melibatkan parti komponen gabungan. Katanya, sebelum ini PAS dan Bersatu masing-masing mempunyai enam wakil dalam MT PN, namun susunan baharu memberi kelebihan kepada PAS untuk memperoleh sokongan majoriti dengan bantuan Gerakan.
Tun Faisal turut mempersoalkan keperluan mengadakan mesyuarat tergempar MT PN bagi tujuan memperkukuh organisasi gabungan, sedangkan menurutnya sebelum ini kepimpinan PN tidak menunjukkan kesungguhan menangani konflik dalaman atau menggerakkan persiapan pilihan raya.
“Kasar permainan politik PAS ini. Hari demi hari, sedikit demi sedikit, Allah tunjukkan sikap autoritarian dan politik kotor PAS. Kalau bukan pendekatan ke'Mullah'an dan ke'Talibanan', mungkin pegangan Machiavellian, yang mana matlamat menghalalkan cara,” dakwanya. Bagaimanapun, beliau menegaskan Bersatu kekal komited mempertahankan gabungan itu. “Tapi, saya pun harap rakan-rakan dalam PAS juga boleh bantu hentikan kerakusan dan kegilaan 'Kluster Publika' ini dari dalam,” katanya.



