Sanjeevan: Ahli Bersatu perlu tenang, serah pada pucuk pimpinan
PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu menyeru ahli parti supaya bertenang dan menyerahkan pada kebijaksanaan pucuk pimpinan untuk menangani kemelut dalam Perikatan Nasional (PN) susulan pelucutan jawatan dua pemimpin kanannya dalam gabungan itu.
Ketua Sayap Bersekutu Bersatu R Sri Sanjeevan berkata tindakan Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar menghentikan khidmat dua pemimpin Bersatu, Radzi Jidin dan Azmin Ali menimbulkan pelbagai persoalan, termasuk mengenai kesahihan keputusan tersebut. Radzi adalah pemangku timbalan presiden Bersatu, manakala Azmin setiausaha agung.
“Saya minta akar umbi dan ahli-ahli parti bertenang dan serahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan Bersatu untuk selesaikan masalah ini,” katanya kepada FMT.
Dalam kenyataan selepas mesyuarat Ahli Parlimen pembangkang di ibu pejabat PAS malam tadi, Samsuri umum khidmat Radzi sebagai ketua pengarah pilihan raya PN dan Azmin sebagai timbalan setiausaha agung ditamatkan serta-merta. Samsuri yang lebih dikenali sebagai Dr Sam berkata, ‘penstrukturan semula’ pentadbiran PN bagi tujuan menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut Sanjeevan berkata Bersatu tidak dimaklumkan atau dirunding terlebih dahulu sebelum keputusan tersebut dibuat. “Mesyuarat Majlis Tertinggi pun tak ada jadi macam mana nak dibincang. Jadi sekarang timbul persoalan adakah keputusan tersebut sah atau tidak.
“Nampaknya ini macam usaha untuk hijack PN daripada Bersatu,” katanya.
Menurutnya, tindakan menggugurkan dua pemimpin kanan Bersatu itu sebagai langkah politik yang tidak matang dan tidak profesional.
Ketika ditanya mengapa hanya pemimpin Bersatu terlibat dalam penstrukturan semula tersebut, Sanjeevan berkata persoalan itu wajar dijawab oleh Samsuri atau Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.



