Sanjeevan butakan mata, bantu rakyat tanpa pilih bulu di Jeram Padang
Sanjeevan butakan mata, bantu rakyat tanpa pilih bulu

JEMPOL: Calon Bersatu DUN Jeram Padang, R Sri Sanjeevan, berjanji akan membantu semua penduduk tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik jika diberi mandat pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos ini. Katanya, sepanjang lebih dua tahun turun padang, membuka pusat khidmat sendiri dan menganjurkan pelbagai program kebajikan termasuk tuisyen percuma, bantuan diberikan kepada semua yang layak tanpa mengira latar belakang.

Prinsip khidmat tanpa diskriminasi

“Selama saya berkhidmat di sini, saya tak pernah tengok (pilih) Melayu, India atau Cina. Kita buat program untuk semua kaum. Saya bukan saja tidak melihat bangsa dan agama, malah tidak pandang parti mereka sokong. Kalau mereka layak menerima bantuan, kita bantu,” katanya kepada FMT. Sanjeevan berkata, beliau turut menaja penduduk Islam menunaikan umrah, menganjurkan pelbagai program untuk masyarakat India dan aktif mendampingi kaum Cina, dibantu penguasaan bahasa Mandarin.

Saingan sengit empat penjuru

Mengenai pertandingan empat penjuru di Jeram Padang, beliau mendakwa saingan sebenar hanya melibatkan dirinya dan penyandang Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidy Abdul Kadir. Katanya, berdasarkan maklum balas ketika turun padang, calon Pakatan Harapan (PH) kurang dikenali pengundi tempatan, manakala calon Parti Orang Asli Malaysia (Asli) hanya mendapat sokongan kelompok tertentu. DUN Jeram Padang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Sanjeevan, G Manivannan (PH), Dayana Dal (Asli) dan penyandang Zaidy, yang menang kerusi itu pada pilihan raya lalu dengan majoriti 693 undi.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Logo bukan isu utama

Mengulas penggunaan logo Bersatu berbanding Perikatan Nasional (PN), Sanjeevan berkata perkara itu bukan isu kerana pengundi lebih melihat rekod dan khidmat calon. “Sebahagian besar memang tidak menghiraukan logo. Mereka beritahu saya mereka mengundi berdasarkan calon, bukan semata-mata parti,” katanya. Jika dipilih, beliau berkata keutamaan akan diberikan kepada penyelesaian masalah bekalan air dan peluang pekerjaan di kawasan itu. Sanjeevan turut mendakwa, peruntukan kira-kira RM500,000 untuk pembinaan sebuah bulatan lebih wajar disalurkan bagi menyelesaikan isu bekalan air penduduk.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga