Malaysia kini berada di kedudukan ke-95 daripada 180 negara dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2026 yang diterbitkan oleh Reporters Without Borders (RSF). Kedudukan ini merosot tujuh anak tangga berbanding tahun lalu, dengan skor keseluruhan 52.73.
Makna di sebalik ranking
Bagi mereka yang terbabit secara langsung dalam industri media, angka ini memberi gambaran tentang cabaran sebenar yang dihadapi setiap hari. Kebebasan media bukan sekadar hak melaporkan berita, tetapi turut melibatkan aspek perundangan, kebebasan editorial, tekanan politik serta kemampuan organisasi media untuk terus bertahan dalam persekitaran yang semakin mencabar.
Presiden Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia, Nik Suryani Megat Deraman, menyatakan laporan ini mencerminkan realiti yang dihadapi organisasi media setiap hari, daripada membuat keputusan editorial, mengurus risiko perundangan, berdepan tekanan ekonomi, hinggalah memastikan kewartawanan yang berkualiti dan beretika terus dapat dipertahankan.
Mengapa rakyat perlu peduli?
Penurunan kedudukan Malaysia bukan hanya memberi kesan kepada wartawan atau organisasi media. Ia turut menyentuh hak rakyat untuk mendapatkan maklumat yang tepat, seimbang dan boleh dipercayai. Dalam sebuah negara demokrasi, rakyat membuat keputusan berdasarkan maklumat yang diterima. Semakin berkualiti maklumat yang disampaikan, semakin baik keputusan yang dapat dibuat oleh masyarakat.
Apabila organisasi media berasa terlalu berhati-hati kerana bimbang berdepan tindakan undang-undang atau tekanan tertentu, mereka mungkin memilih tidak melaporkan isu-isu yang sensitif. Keadaan ini dikenali sebagai ‘self-censorship’ atau penapisan kendiri. Jika keadaan ini berlarutan, isu berkaitan salah guna kuasa, rasuah, ketirisan dana awam atau kelemahan tadbir urus mungkin tidak mendapat liputan yang sewajarnya.
Mencari titik seimbang
Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya. Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keamanan, keharmonian dan kestabilan negara terus terpelihara. Justeru, penguatkuasaan undang-undang berkaitan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) dilaksanakan bagi mengelakkan ketegangan dalam masyarakat.
Namun begitu, cabarannya adalah memastikan penguatkuasaan terbabit tidak menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengamal media sehingga mereka memilih untuk mengelakkan pelaporan terhadap isu-isu berkepentingan awam. Mencari keseimbangan antara kebebasan bersuara dan tanggungjawab menjaga keharmonian negara bukanlah sesuatu yang mudah.
Cabaran sebenar industri media
Selain kebebasan editorial, satu lagi cabaran besar ialah kelangsungan ekonomi organisasi media. Laporan RSF menunjukkan indikator ekonomi Malaysia merupakan antara komponen yang paling lemah. Hakikatnya, kebanyakan organisasi media kini berdepan peningkatan kos operasi, penyusutan pendapatan pengiklanan tradisional serta persaingan sengit daripada platform teknologi global yang menguasai sebahagian besar pasaran pengiklanan digital.
Tekanan kewangan ini memberi kesan langsung kepada kualiti kewartawanan. Apabila sumber semakin terhad, organisasi media turut berdepan kesukaran untuk melabur dalam kewartawanan penyiasatan, latihan profesional, pembangunan bakat serta inovasi digital. Dalam keadaan tertentu, organisasi media mungkin lebih cenderung menghasilkan kandungan yang murah dan pantas diterbitkan bagi mengejar jumlah tontonan.
Perkembangan positif yang wajar dihargai
Walaupun kedudukan keseluruhan Malaysia menurun, terdapat satu perkembangan yang memberangsangkan. Indikator keselamatan dalam laporan RSF meningkat kepada lebih 85 mata, menunjukkan bahawa wartawan dan kru media di Malaysia secara umumnya masih dapat menjalankan tugas dalam persekitaran yang relatif selamat daripada ancaman fizikal.
Ini memberi gambaran bahawa cabaran utama media Malaysia hari ini bukan lagi tertumpu kepada keselamatan di lapangan, sebaliknya bagaimana memperkukuh kebebasan editorial, menambah baik persekitaran perundangan serta memastikan industri media terus mampan dari sudut ekonomi.
Membina landskap media yang lebih kukuh
Masa depan media Malaysia memerlukan komitmen bersama antara kerajaan, industri dan institusi akademik. Kerajaan boleh meneruskan agenda reformasi dengan memperkukuh keyakinan terhadap institusi yang menyokong kebebasan media, termasuk memperkasakan Majlis Media Malaysia sebagai sebuah badan kawal selia kendiri yang bebas, telus dan diyakini.
Industri media pula perlu terus meningkatkan profesionalisme, membangunkan model perniagaan yang lebih mampan serta memanfaatkan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) tanpa mengorbankan prinsip kewartawanan yang beretika. Institusi akademik juga mempunyai peranan penting dalam melahirkan pengamal media yang bukan sahaja mahir dalam teknologi dan kewartawanan digital, malah memahami nilai integriti, etika dan tanggungjawab sosial kerjaya ini.
Kebebasan media bukan bermaksud kebebasan tanpa batas. Sebaliknya, ia merupakan kebebasan yang disertai tanggungjawab. Apabila media bebas, profesional dan kukuh dari segi ekonomi, rakyat memperoleh maklumat yang lebih berkualiti, kerajaan mendapat manfaat daripada semak dan imbang yang konstruktif, manakala negara membina kepercayaan awam yang lebih utuh.
Penurunan Malaysia ke kedudukan ke-95 harus dilihat sebagai satu peringatan bahawa usaha memperkukuh kebebasan media memerlukan komitmen semua pihak. Apa yang lebih penting bukan sekadar memperbaiki kedudukan dalam indeks antarabangsa, tetapi membina landskap media yang lebih bebas, bertanggungjawab, mampan dan diyakini oleh rakyat.
Nik Suryani Megat Deraman ialah presiden Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.



