Rakan lemah, PAS dan Bersatu dijangka sukar di Johor, kata penganalisis
Rakan lemah, PAS dan Bersatu dijangka sukar di Johor

PAS dan Bersatu yang dikatakan mungkin bergerak berasingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat mempunyai pilihan rakan kerjasama yang terhad, sekali gus menyukarkan kedua-dua parti untuk membina kekuatan baharu bagi menyaingi gabungan utama, kata penganalisis.

Pandangan Mazlan Ali

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, usaha parti tersebut membentuk jajaran politik baharu susulan krisis dalaman Perikatan Nasional (PN) tidak semestinya mampu mengubah landskap politik Johor. Beliau berkata, walaupun PAS dan Bersatu sebelum ini dikaitkan dengan usaha menjalin kerjasama bersama parti kecil seperti Berjasa, Pejuang dan Putra, pengaruh parti terbabit masih terhad dan tidak cukup kuat untuk mencabar Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH).

“Saya nampak pertandingan sebenar di Johor lebih kepada BN dan PH. PAS dan Bersatu menjadi lemah kerana kesan perpecahan mereka. Walaupun ada parti kecil membantu, ia tidak akan membawa impak besar di Johor,” katanya kepada FMT.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Krisis Perikatan Nasional

Krisis PN semakin meruncing susulan penamatan kerjasama politik antara PAS dan Bersatu. Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, baru-baru ini berkata parti itu bergerak dahulu dalam berdepan PRN Johor 11 Julai depan susulan kelewatan Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar merangka strategi. Mendakwa tiada mesyuarat gerak kerja dipanggil Samsuri, Faizal berkata Bersatu tidak boleh menunggu ‘isyarat PAS’ dan mengerakkan jentera bersama rakan dalam Ikatan Prihati Rakyat (IPR), Muda serta Pejuang.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Johor, Mahfodz Mohamed, pada 10 Jun lalu berkata partinya akan membina jajaran politik baharu selepas kerjasama politik dengan Bersatu ditamatkan. Menurutnya, kerjasama pilihan raya itu membabitkan Pejuang, Putra, Berjasa dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman). PAS juga bakal bekerjasama dengan Parti Wawasan Negara yang dikatakan bakal menggunakan logo PN seperti diumumkan Presiden PAS Hadi Awang, 13 Jun lalu.

Putra, Berjasa dan Iman juga antara 11 parti bawah gabungan longgar IPR diketuai Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang sebelum ini menegaskan partinya akan bertanding bawah logo PN.

Pandangan Syaza Shukri

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata, tanpa pengaruh PAS atau Bersatu, parti kecil dalam IPR tidak mempunyai tarikan besar kepada pengundi khususnya di Johor. “IPR ini masih banyak ketidaktentuan, walaupun boleh pecah undi tetapi saya tidak fikir mereka mampu memberi saingan serius kepada gabungan besar,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga