KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada bulan depan dilihat lebih sesuai dijadikan ujian untuk menilai sama ada kestabilan kerajaan perpaduan di peringkat pusat boleh terjejas atau sebaliknya, kata Ketua Penerangan Umno, Azalina Othman Said.
Azalina: Johor Bukan Penanda Aras
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata, keputusan PRN Johor tidak boleh dijadikan penanda aras terhadap kekuatan gabungan kerajaan di Putrajaya kerana landskap politik negeri itu berbeza.
“Tak, Johor tak macam itu. Saya rasa kena tengok (keputusan PRN) Negeri Sembilan macam mana kerana kerusi mereka (Pakatan Harapan) banyak. “Negeri Sembilan itu lain, Johor anda tak boleh sebagai ‘test case’. Kena tengok Negeri Sembilan sebagai ‘test case’,” katanya dalam sidang media khas di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia.
Faktor Kerusi PH di Negeri Sembilan
Beliau mengulas sama ada keputusan PRN Johor berpotensi menggugat kesepaduan kerajaan perpaduan termasuk sokongan di Dewan Rakyat. Menurut Azalina, faktor jumlah kerusi dikuasai PH di Negeri Sembilan menjadikan negeri itu lebih signifikan untuk diperhatikan berbanding Johor.
“Sebab Negeri Sembilan banyak kerusi PH, kalau dia orang tak menang banyak itu nak bagi reaksi apa saya tak tahu. Johor tak boleh samakan kerana Johor lain,” katanya.
Keyakinan BN di Johor
Dalam pada itu, Azalina berkata Barisan Nasional (BN) yakin mampu mendapatkan cukup kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor untuk membentuk kerajaan negeri. Beliau berkata, berapa jumlah kerusi dimenangi sama ada bertambah atau sebaliknya bukan perkara utama kerana yang penting BN memperoleh mandat semula oleh rakyat untuk mentadbir Johor.
BN dan PH bertanding di semua 56 DUN pada PRN Johor yang akan diadakan pada 11 Julai. Pengundian awal pula berlangsung esok.



