Polis tolak tuduhan pilih kasih dalam kes nahas maut
Polis tolak tuduhan pilih kasih kes nahas maut

GEORGE TOWN, 10 Mei — Polis menolak dakwaan mengamalkan pilih kasih dalam tindakan terhadap dua kes nahas maut yang berlaku baru-baru ini.

Penafian Timbalan Ketua Polis Negara

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dakwaan tersebut tidak berasas kerana setiap tindakan diambil berdasarkan bukti, pertimbangan undang-undang dan keadaan setiap kes.

"Contohnya, pemandu kereta itu sudah berusia 72 tahun, menghidap pelbagai penyakit dan sedang menjalani rawatan dialisis. Jika kami reman dan letakkan dia di lokap, bagaimana dia hendak menerima rawatan? Sebab itu kami memberi jamin," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah Komuniti dan pelancaran Taman Angkat Amanita bagi kontinjen Pulau Pinang di padang kawad Universiti Sains Malaysia di sini hari ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Perbezaan Kes Lain

Bagaimanapun, Ayob Khan berkata keadaan berbeza dengan kes nahas lain yang melibatkan pemandu van yang merempuh seorang kanak-kanak hingga maut.

"Pemandu van itu sihat dan berusia 60 tahun. Jika boleh direman, kami reman. Sebab itu polis perlu menggunakan budi bicara. Kami tidak mengamalkan pilih kasih atau berat sebelah," katanya.

Ayob Khan berkata walaupun suspek warga emas itu tidak direman, siasatan masih diteruskan, menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap sesiapa yang didapati bersalah.

Kontroversi Media Sosial

Sebelum ini, timbul pertikaian di media sosial mengenai tindakan yang diambil dalam dua kes nahas maut yang melibatkan pemandu van dituduh memandu melulu yang menyebabkan kematian seorang murid Tahun Dua, dan pemandu Proton X70 yang melanggar seorang penunggang motosikal sehingga maut tetapi dibebaskan dengan jamin polis atas sebab kesihatan. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga