PH laras pendekatan kempen ikut lokaliti
Pakatan Harapan (PH) menyesuaikan strategi kempennya mengikut keperluan dan ciri unik setiap lokaliti bagi memastikan mesejnya sampai kepada pengundi dengan berkesan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Setiausaha Agung DAP yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, Anthony Loke, berkata parti itu mengakui bahawa komuniti berbeza memerlukan pendekatan berbeza, dengan jentera kempen melaksanakan strategi berdasarkan demografi dan isu setempat.
Setiap kampung pendekatan berbeza
“Kempen berjalan lancar. Dalam kawasan Chennah, kami ada aturan khusus untuk kawasan berbeza kerana setiap kampung memerlukan pendekatan tersendiri.
“Semua calon PH juga sudah memulakan aktiviti kempen masing-masing dengan turun ke padang untuk bertemu pengundi dan mendengar sendiri pandangan mereka sepanjang tiga hari pertama kempen ini,” katanya kepada pemberita selepas turun padang bersama penduduk di Pekan Titi hari ini.
Manifesto PH bakal dilancarkan malam ini
Mengulas mengenai manifesto PH yang dijadual dilancarkan malam ini, Loke berkata kandungannya akan diumumkan secara rasmi dan merangkumi pelbagai inisiatif yang bertujuan memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya juga menantikan pengumuman malam ini. Manifesto itu disediakan oleh jawatankuasa khas dan melalui perundingan serta perbincangan meluas sebelum dimuktamadkan. Mari kita tunggu pelancaran rasmi malam ini,” katanya.
Lok pertahan kerusi Chennah
Loke yang juga Menteri Pengangkutan mempertahankan kerusi DUN Chennah yang disandangnya sejak 2013 dalam pertembungan satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN) Siow Kong Choon.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Julai sebagai hari pengundian awal dan 1 Ogos sebagai hari mengundi bagi PRN Negeri Sembilan.



