Pengundi Muda Sinikal Walaupun Celik Jika Kepercayaan Merosot
Pengundi Muda Sinikal Walaupun Celik Jika Kepercayaan Merosot

PETALING JAYA: Membina kepercayaan rakyat sambil memperkukuh literasi menjadi cabaran yang harus ditangani serentak, di sebalik keluhan ahli politik berhubung pengundi muda yang dipengaruhi sentimen atau kandungan tular di media sosial.

Kepercayaan dan Literasi: Dua Cabaran Serentak

Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar di Universiti Sains Malaysia, Azeem Fazwan Ahmad Farouk, menegaskan bahawa kepercayaan terhadap institusi politik dan kerajaan memainkan peranan penting dalam cara pengundi muda menilai maklumat, selain tahap celik media, politik, dan ekonomi.

“Walaupun seseorang mempunyai tahap literasi yang baik, mereka mungkin tetap bersikap sinikal jika kepercayaan terhadap institusi politik dan kerajaan semakin merosot akibat persepsi terhadap rasuah, ketidakcekapan atau kegagalan menunaikan janji,” katanya kepada FMT.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Naratif Ringkas dan Sentimen Lebih Berpengaruh

Azeem berkata, dalam landskap media sosial yang pantas, naratif ringkas, sentimen dan personaliti sering memberi pengaruh lebih besar berbanding perbahasan dasar yang mendalam. “Ramai pengundi muda mungkin membuat penilaian awal berdasarkan persepsi dan sentimen sebelum meneliti dasar yang sebenar,” jelasnya.

Mengulas lanjut tentang literasi, Azeem menyatakan bahawa ramai anak muda mempunyai kemahiran digital yang tinggi dan mampu mengakses pelbagai sumber maklumat, namun itu tidak semestinya diterjemahkan kepada pemahaman terhadap isu dasar yang kompleks. “Untuk memahami isu seperti inflasi, subsidi, percukaian, pelaburan atau reformasi institusi, seseorang memerlukan pengetahuan asas tentang ekonomi, pentadbiran awam dan sistem politik,” katanya.

Seruan Tingkatkan Literasi Politik

Pada 13 Jun lalu, Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim, menggesa pengundi muda meningkatkan literasi politik agar setiap undi diberikan berlandaskan ilmu dan kefahaman, bukannya dipengaruhi sentimen atau kandungan tular di media sosial. Beliau menegaskan generasi muda tidak seharusnya menilai kebenaran sesuatu maklumat berdasarkan jumlah tanda suka, perkongsian atau populariti semata-mata. Kamil turut menggesa golongan itu membudayakan sikap meneliti maklumat, memahami dasar yang ditawarkan serta menilai rekod dan keupayaan pihak yang bertanding sebelum membuat keputusan dalam pilihan raya.

Pendekatan Kreatif untuk Sampaikan Isu Kompleks

Pensyarah kanan di Universiti Putra Malaysia, Nor Azura Adzharuddin, berpendapat generasi muda mampu membezakan maklumat, propaganda politik dan kandungan yang bertujuan meraih emosi sekiranya diberi pendedahan dan pendidikan yang sesuai. Namun, katanya, perhatian pengguna media sosial sering tertumpu kepada isu tular dan kontroversi. “Maklumat ada tetapi kurang berjaya sampai kepada generasi muda kerana mereka tidak merasakan ada hubungan atau relevan dengan maklumat yang dikongsikan. Selain itu, kupasan isu sering dilihat membosankan, tidak kreatif dan tidak menarik perhatian mereka,” katanya.

Menurut Azura, isu kompleks seperti ekonomi, kos sara hidup dan dasar kerajaan boleh disampaikan dengan berkesan jika menggunakan pendekatan yang sesuai dengan tabiat penggunaan media mereka. “Generasi muda lebih terdedah dan terpengaruh dengan maklumat yang disampaikan melalui media sosial kerana platform ini lebih dekat di hati mereka. Namun, maklumat itu perlu ringkas, padat dan disampaikan secara kreatif supaya sesuai dengan penerimaan mereka,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga