PETALING JAYA: Sebuah kumpulan pelajar menggesa Universiti Malaya (UM) mendedahkan hasil siasatan dalaman berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap seorang profesor, selepas lebih setahun dakwaan itu timbul.
Dakwaan yang muncul pada Disember 2024 itu melibatkan seorang profesor yang dituduh berkongsi gambar lucah dirinya dengan pelajar. September lalu, UM mengumumkan bahawa siasatan tersebut hampir selesai dan jawatankuasa penyiasat sedang menyediakan laporannya.
Bagaimanapun, New Generation Universiti Malaya (NewGen UM) berkata hasil siasatan itu masih belum didedahkan kepada umum. “Lebih setahun telah berlalu, namun persoalan-persoalan penting masih belum terjawab,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
NewGen UM turut menyatakan kebimbangan selepas profesor berkenaan dilaporkan kembali menjalankan tugas akademik, termasuk menilai projek tahun akhir dan peperiksaan. Katanya, membenarkan seorang pensyarah yang berdepan dakwaan gangguan seksual terus mempunyai kuasa akademik dan menilai pelajar merupakan ‘kegagalan yang jelas’ pihak universiti dalam melindungi kebajikan dan keselamatan pelajar.
Kumpulan itu turut menggesa UM menggantung profesor berkenaan daripada tugas pemarkahan dan penilaian serta memperkukuh mekanisme perlindungan kampus terhadap gangguan seksual.
“Universiti bukan sekadar institusi kecemerlangan akademik. Ia juga mesti menjadi ruang di mana setiap pelajar berasa selamat, dihormati dan dilindungi daripada sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa,” katanya.
FMT telah menghubungi pihak universiti untuk mendapatkan ulasan.



