PETALING JAYA: PAS perlu menyalahkan diri sendiri kerana bertindak melemahkan blok pembangkang, sekali gus mempersiakan peluang keemasan untuk mengambil alih Putrajaya, kata Pengerusi Urimai, P Ramasamy.
Keputusan PAS melemahkan pembangkang
Ramasamy, yang juga anggota gabungan longgar Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), berkata keputusan PAS untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu, serta keputusan kepimpinan dalaman Perikatan Nasional (PN), telah menyumbang kepada perpecahan pembangkang.
“Berkemungkinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mengucapkan tahniah kepada kepimpinan PAS kerana berjaya melakukan satu pencapaian politik yang tidak mampu dicapai Pakatan Harapan (PH) sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
“Sama juga dengan pemimpin Umno yang mungkin akan melakukan perkara sama kerana (PAS) menyumbang kepada kelemahan barisan pembangkang.”
PN sepatutnya mampu cabar kerajaan
Ramasamy berkata, andai PN kekal bersatu, gabungan berkenaan sepatutnya mampu memberikan cabaran sengit dalam pembentukan kerajaan persekutuan.
“Ketidakupayaan kepimpinan PAS yang diterajui Hadi Awang untuk merebut peluang politik ini merupakan kelemahan terbesar parti itu,” katanya.
Katanya, PAS tidak pernah membentuk orientasi politik yang benar-benar bersifat nasional, sebaliknya hanya memperkukuh kekuatan di beberapa negeri sahaja, selain salah merancang untuk membentuk gabungan pilihan raya yang lebih luas.
“Sekiranya PAS mempunyai orientasi politik yang benar-benar bersifat nasional, sudah tentu ia boleh memulihkan hubungan dengan Bersatu. Perbezaan politik antara dua parti itu bukanlah sesuatu yang tidak boleh diatasi langsung,” katanya.
Bersatu masih mampu bangkit semula
Meskipun berlaku perpecahan, Ramasamy berkata, masih terlalu awal untuk mengetepikan Bersatu, selain membayangkan parti tersebut masih mampu mengatur semula kedudukannya secara bersendirian.
“Bersatu yang kini bebas daripada dibebani PAS berkemungkinan besar mampu muncul sebagai sebuah parti politik yang berbeza dari segi kualitinya, berbanding sebelum ini,” katanya.



