'Berbeza langkah, jangan putus kawan', pantun Anwar di tengah saingan PH-BN
Pantun Anwar di tengah saingan PH-BN

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkongsi serangkap pantun mengenai persahabatan dan muafakat, ketika Pakatan Harapan (PH) yang dipimpinnya berdepan Barisan Nasional (BN) diterajui timbalannya Zahid Hamidi, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan. Pantun empat kerat itu berbunyi: “Burung merbah terbang sekawan, Guruh berdentum membelah awan, Berbeza langkah, jangan putus kawan, Selagi muafakat, kita sehaluan.”

Kongsi gambar mesyuarat Kabinet

Dalam hantaran di Facebook, Anwar turut berkongsi gambar mesyuarat Kabinet yang antaranya dihadiri Zahid dan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook. Loke, yang juga setiausaha agung DAP, turut bertanding pada PRN Negeri Sembilan, 1 Ogos ini. Beliau mempertahankan kerusi Chennah. Anggota Kabinet lain yang bertanding adalah Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan yang mempertahankan DUN Rantau.

Ketegangan PH-BN semasa kempen

Pantun itu menarik perhatian di tengah-tengah ketegangan antara PH dan BN sepanjang kempen PRN, walaupun kedua-duanya masih bekerjasama dalam kerajaan persekutuan. PH dan BN yang berganding bahu pada PRN Negeri Sembilan 2023 kini bertanding secara berasingan. Sebelum ini, Anwar memberi amaran kepada menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam kerajaan persekutuan ketika berkempen. Beliau berkata, mereka yang berbuat demikian sepatutnya meletakkan jawatan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Semalam, Zahid dipetik berkata perdana menteri boleh memecat beliau dan menteri BN lain jika tidak menyukai mereka, sambil menegaskan beliau tidak melihat sebab untuk mana-mana daripada lapan menteri BN meletakkan jawatan. PH bertanding 36 kerusi manakala BN di 25 DUN dan parti itu mempunyai persefahaman dengan Perikatan Nasional yang meletakkan calon di 11 kerusi. Bersatu yang juga komponen PN bertanding atas lambang sendiri di 24 kerusi.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga