Naratif 'penyatuan Melayu-Islam' jadi cabaran PH, kata Khalid Samad
Naratif penyatuan Melayu-Islam cabaran PH

Pakatan Harapan (PH) mengakui naratif perpaduan Melayu-Islam yang dimainkan oleh Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menyukarkan gabungan pimpinan Anwar Ibrahim itu memikat pengundi Melayu di Negeri Sembilan. Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, berkata naratif tersebut terbukti berkesan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor awal bulan ini, yang menyaksikan kemenangan bergaya BN.

Naratif penyatuan Melayu-Islam ancam pembinaan negara bangsa

Khalid berkata, PH akan menepis naratif berkenaan dengan memberi tumpuan kepada prestasinya dalam kerajaan. "Sememangnya naratif dibawa terbukti berkesan semasa di Johor dan kita telah melihat bagaimana undi orang Melayu, khususnya yang daripada PAS telah disatu dan dijumlahkan dengan undi calon untuk BN. Dan ya, ia menjadi cabaran," katanya pada sidang media di Seremban. Hadir sama, Setiausaha DAP Negeri Sembilan Cha Kee Chin dan Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil.

Khalid menegaskan, naratif penyatuan Melayu-Islam mengancam pembinaan negara bangsa, sambil berhujah apabila rakyat diperkotak-katik dan dilagakan mengikut garis kaum, ia akan mencetuskan masalah. "Kerjasama mereka ini (BN-PN) bukan sahaja cabaran sewaktu pilihan raya, tetapi juga merupakan satu ancaman terhadap pembangunan negara bangsa yang bersatu padu," katanya.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Seruan penyatuan Melayu tidak boleh lawan bukan Melayu

Beliau turut mempersoalkan tujuan di sebalik seruan penyatuan Melayu, terutamanya jika ia digambarkan seolah-olah menentang golongan bukan Melayu. "Penyatuan itu bagus, namun bukan untuk melaga-lagakan dan menanam kebencian. Kita mahu orang Melayu bersatu, orang Cina bersatu dan orang India bersatu, tetapi atas asas yang mantap untuk membangunkan negara bersama."

Namun, Khalid berkata, PH akan dapat menjawab naratif sedemikian dengan lebih berkesan pada PRN Negeri Sembilan kerana kerjasama antara BN-PAS kini berlaku secara terbuka. Di Johor, PAS dan BN bekerjasama 'di sebalik pintu'. "Di sini (Negeri Sembilan), ia dilakukan secara terbuka, jadi naratifnya jauh lebih jelas dan pengundi boleh menilai sendiri bahaya pakatan sedemikian," katanya. Beliau menyeru pengundi untuk bersatu dan memilih pentadbiran yang menekankan tata kelola baik.

Fahmi: Pemimpin PH juga Melayu Islam

Fahmi Fadzil turut berkata, beberapa pemimpin politik cuba mewujudkan persepsi mereka satu-satunya pihak yang boleh mendakwa mewakili kepentingan Melayu-Islam. "Habis Khalid Samad bukan Melayu Islam? Saya bukan Melayu Islam? Jadi, politik yang agak eksklusif seperti itu tidak mencerminkan kemajmukan dan kepelbagaian dalam negara kita."

Beliau berkata, PH memandang serius naratif berkenaan dan akan berusaha lebih gigih mendekati pengundi Melayu dengan membuktikan kepentingan Melayu-Islam tidak pernah dipinggirkan di bawah pentadbiran gabungan itu. Fahmi menekankan lebih banyak masjid telah dibina di Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar Aminuddin Harun, manakala kutipan zakat pula meningkat lebih dua kali ganda. "Ketuanya Melayu, Islam dan sokonglah Melayu, Islam bernama Aminuddin Harun."

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga