Mohamad Hasan nafi kaitan PRN Johor dengan pembebasan Najib
Mohamad Hasan nafi kaitan PRN Johor dengan Najib

JOHOR BAHRU, 6 Julai — Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor perlu dijalankan secara matang tanpa serangan peribadi bagi memastikan kestabilan negara terpelihara. Beliau yang juga Menteri Luar Negeri berkata demikian ketika menghadiri majlis makan tengah hari bersama pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram di sini hari ini.

Kempen matang tanpa serangan peribadi

Menurut Mohamad, semua parti yang bertanding bebas untuk membentangkan dasar dan tawaran kepada rakyat, tetapi kempen tidak boleh menjejaskan hubungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. "Janganlah kita terlalu peribadi. Dasar kita baik, tiada masalah. Parti kita baik, tiada peribadi. Kita mesti berhemah kerana di peringkat Persekutuan, kita masih bersama mentadbir negara. Itu yang penting," katanya.

Beliau menambah, urusan mentadbir negara adalah perkara utama yang tidak boleh diganggu. "Jangan biarkan ia merosakkan negara. Jadi bergurau sesama sendiri tiada masalah, saya bergurau dengan orang, orang bergurau dengan saya, tiada masalah, tetapi jangan terlalu peribadi," ujarnya.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

PRN Johor bukan untuk bebaskan Najib

Mohamad menolak dakwaan yang mengaitkan PRN Johor dengan usaha membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau menegaskan Malaysia adalah negara yang berpegang kepada kedaulatan undang-undang dan Umno sentiasa menghormati prinsip ini.

"PRN Johor tiada kaitan dengan pembebasan Datuk Seri Najib kerana ia adalah pilihan raya untuk membentuk kerajaan negeri, bukan pilihan raya umum untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. Apa yang Menteri Besar boleh lakukan untuk membebaskan Datuk Seri Najib? Tiada... kerana kuasa terletak pada Kerajaan Persekutuan, dan pengampunan adalah prerogatif mutlak Yang di-Pertuan Agong. Jadi jangan kita merampas kuasa Agong, dan jangan kita melemahkan autoriti Agong," tegasnya.

Pengundian 11 Julai

Pengundian bagi PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai, manakala pengundian awal dijadualkan esok. Seramai 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN Johor. Untuk perkembangan terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga