Projek pembangunan KDN di Johor
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di Johor untuk memperkukuh infrastruktur keselamatan, meningkatkan kecekapan operasi dan menambah baik penyampaian perkhidmatan awam di negeri itu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Johor adalah negeri penting di selatan negara memandangkan peranannya sebagai salah satu hab utama negara bagi keselamatan, perkhidmatan awam dan pintu masuk antarabangsa.
Agensi terlibat dalam projek
Beliau berkata projek pembangunan itu melibatkan beberapa agensi di bawah kementerian, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Penjara, Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Bagi PDRM, projek termasuk pembinaan ibu pejabat polis daerah Segamat, pengambilalihan tanah untuk ibu pejabat polis daerah Pengerang, serta kerja-kerja membaiki kuarters dan lif di premis polis.
“Selain itu, menaik taraf kemudahan imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) kekal menjadi keutamaan untuk memastikan perkhidmatan sempadan lebih cekap, teratur dan menjaga integriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Komitmen KDN
Saifuddin Nasution berkata komitmen KDN juga termasuk pembinaan pejabat JPN daerah Batu Pahat, menaik taraf sistem asas di Penjara Kluang dan Penjara Simpang Renggam, serta pembangunan semula pejabat dan pusat rawatan AADK di negeri itu.
Beliau berkata menaik taraf jeti dan bangunan di Pangkalan Maritim Abu Bakar mencerminkan komitmen KDN untuk terus menambah baik kemudahan bagi personel dan perkhidmatan kepada orang ramai.
Beliau berkata KDN akan terus memastikan setiap peruntukan dan projek yang dilaksanakan memberi manfaat langsung kepada rakyat, memperkukuh kesiapsiagaan agensi keselamatan dan menyokong pembangunan Johor sebagai negeri yang selamat, cekap dan makmur.
“KDN komited untuk memperkukuh Johor, untuk rakyat, untuk personel kami, untuk negara,” tambahnya.
Pengundian bagi Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 akan berlangsung esok, dengan kira-kira 2.7 juta pengundi berdaftar dijangka memilih 56 ahli Dewan Undangan Negeri.
Untuk perkembangan terkini Pilihan Raya Negeri Johor ke-16, orang ramai boleh melayari portal khas Bernama di https://prn.bernama.com/johor. — Bernama



