Banjir Berulang di Petaling Jaya Boleh Goyang Sokongan PH, Pengundi Penat
Banjir Berulang di PJ Goyang Sokongan PH, Pengundi Penat

Pakatan Harapan (PH) diberikan amaran bahawa banjir berulang di Petaling Jaya mampu memberi kesan negatif dari segi politik untuk gabungan itu dalam pilihan raya akan datang. Penganalisis berkata pengundi mungkin penat dengan masalah yang sering berulang itu yang menjejaskan kehidupan mereka dan menyebabkan kerugian kepada perniagaan.

Risiko Kehilangan Kerusi DUN

Naib Presiden bersekutu The Asia Group, Asrul Hadi Abdullah Sani dan Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, masalah itu mungkin tidak cukup besar untuk mengakibatkan PH kehilangan kerusi parlimen di Selangor. Sebaliknya, Syaza berkata PH lebih berkemungkinan berisiko kehilangan kerusi DUN di Petaling Jaya.

Asrul berkata, banjir yang kerap berlaku akan menambah rasa tidak puas hati pengundi terhadap PH selepas lebih 18 tahun pentadbiran gabungan itu – termasuk ketika dikenali sebagai Pakatan Rakyat – di Selangor. “Risikonya adalah peratusan pengundi rendah, undi protes dan kehilangan minat dalam kalangan pengundi PH, khususnya jika isu itu mengukuhkan lagi persepsi bahawa wujud sikap sambil lewa di peringkat negeri dan persekutuan,” katanya kepada FMT.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Ini mampu mengakibatkan mudarat kerana menteri besar Selangor dan perdana menteri kedua-duanya dari PKR, seterusnya sukar untuk mana-mana peringkat kerajaan mendakwa kurangnya kemajuan berlaku akibat koordinasi lemah atau perbezaan politik,” katanya.

Pengundi Sedia Hukum PH

Syaza berkata, pengundi sebelum ini menunjukkan mereka lebih rela ‘menghukum’ PH dalam PRN, dengan memetik bagaimana kerusi Taman Medan terlepas ke tangan Bersatu pada 2023. Sebelum itu, kerusi berkenaan dipegang PH selama tiga penggal. Bagaimanapun, katanya, pengundi berkemungkinan mempertimbangkan isu kebangsaan lebih besar apabila mengundi dalam pilihan raya parlimen.

Asrul berkata, selain menyukarkan penduduk Petaling Jaya, banjir turut mengakibatkan kerugian untuk pedagang dan perniagaan kecil. “Ini mengakibatkan isu itu berkait dengan kos sara hidup dan kos menjalankan perniagaan. Pengundi yang terjejas semakin melihatnya sebagai kegagalan tadbir urus dan bukan sekadar masalah cuaca luar biasa,” katanya.

Hujan lebat pada Sabtu menyebabkan banjir kilat di sekitar Lembah Klang khususnya Petaling Jaya, yang mengakibatkan kerosakan terhadap kenderaan, kediaman dan premis perniagaan malah Medan Selera 223 yang popular mengalami banjir untuk kali ketiga tahun ini. Pakar sebelum ini berkata, sistem perparitan Petaling Jaya yang lama tidak mampu menangani kadar hujan yang lebih banyak akibat perubahan iklim, selain faktor pembangunan pesat turut bererti kurang kawasan hijau di bandar itu.

Belum Ada Alternatif Sesuai

Namun, tidak semuanya negatif untuk PH. Asrul dan Syaza bersetuju bahawa PH masih mempunyai kredibiliti lebih tinggi berbanding Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di mata pengundi Petaling Jaya, yang pasti menjadi satu kelebihan untuk PH. BN mungkin secara luaran nampak lebih baik daripada PN di mata pengundi bandar, tetapi Syaza tidak menjangka ia akan menjadi pilihan mengatasi PH.

Bagaimanapun, Asrul berkata tidak wajar untuk sekadar bergantung kepada fakta bahawa pengundi tiada pilihan lain. Katanya, pilihan raya di Johor dan Sabah membuktikan PH tidak boleh memandang remeh terhadap pengundi di bandar yang lazimnya dilihat sebagai penyokong kuatnya. “Rasa tidak puas hati mungkin diterjemah ke arah peratusan pengundi rendah, undi protes dan majoriti yang sedikit walaupun pengundi kekal tidak yakin dengan pembangkang.

“Pengundi tidak perlu menerima pembangkang sepenuh hati untuk menghukum seorang penyandang yang dipercayai bersikap sambil lewa atau gagal memenuhi peranannya,” katanya.

Langkah Perlu Diambil

Syaza berkata, kerajaan Selangor pimpinan PH mesti menunjukkan kepada pengundi bahawa ia aktif berusaha menyelesaikan masalah banjir berulang dan isu setempat lain. Asrul berkata beberapa penyelesaian perlu diperkenalkan sebelum pilihan raya negeri akan datang. “Parti mesti menunjukkan ia memahami kekecewaan orang ramai dan sanggup bertanggungjawab seterusnya membawa pembaikan nyata menjelang pilihan raya.

“Pengundi di kubu kuat seperti Petaling Jaya semakin mengharapkan prestasi, ketelusan dan hasil jelas bukan sekadar momokan mengenai pembangkang,” katanya. PRN Selangor perlu diadakan sebelum November 2028 melainkan DUN dibubarkan lebih awal.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga