Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan percubaan untuk mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kekacauan dalam kalangan pembangkang sebagai usaha terdesak untuk menyembunyikan kelemahan kepimpinan blok itu.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, adalah tidak munasabah untuk menyalahkan Anwar atas setiap krisis dalaman yang melanda pembangkang, sedangkan isu tersebut sebenarnya berpunca daripada perebutan kuasa dan pertikaian peruntukan kerusi.
“Pihak lain yang agresif melakukan gerakan politik, mencipta ketidakstabilan, mengamalkan budaya tikam belakang dan pelbagai skema politik, termasuk cubaan membentuk kerajaan melalui pintu belakang, namun Perdana Menteri yang dipersalahkan.
“Marzuki sendiri mengakui wujud kekacauan dalaman dalam pembangkang akibat pertikaian kerusi dan perbezaan kepentingan politik. Kalau begitu, kenapa Anwar yang perlu dipersalahkan?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Kamil mengulas kenyataan Marzuki Mohamad, bekas setiausaha sulit utama kepada Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai kewujudan apa yang digambarkan sebagai “gerakan politik peringkat tinggi” yang didakwa diketahui Anwar.
Sementara itu, Muhammad Kamil berkata, krisis yang melanda pembangkang jelas menunjukkan kelemahan kepimpinan dan kegagalan menguruskan gabungannya sendiri, bukan campur tangan pihak luar.
Katanya, usaha untuk menghidupkan semula kerjasama politik yang sebelum ini gagal hanya menunjukkan pembangkang kehabisan idea dan tidak mampu menawarkan agenda yang meyakinkan kepada rakyat.
“Rakyat semakin sedar bahawa gabungan seperti Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional gagal membentangkan pelan ekonomi yang jelas dan agenda pembangunan yang kukuh.
“Sebaliknya, mereka terus bergantung kepada politik kebencian dan mengeksploitasi sentimen perkauman dan agama secara sempit untuk meraih sokongan,” katanya.
Muhammad Kamil berkata, sementara pembangkang sibuk dengan gerakan politik dan perebutan kuasa, kerajaan pimpinan Anwar terus memberi tumpuan kepada mengukuhkan ekonomi negara, menarik pelaburan dan meningkatkan daya tahan ekonomi Malaysia.
“Perdana Menteri baru pulang dari lawatan kerja ke Tokyo dan terus fokus mengukuhkan ekonomi serta menjaga kepentingan rakyat.
“Malangnya, ada pihak yang masih terperangkap dalam permainan politik lama, sibuk dengan gerakan politik dan skema pintu belakang sedangkan rakyat mencari penyelesaian kepada isu kos sara hidup, pekerjaan dan pembangunan negara,” katanya.



