PETALING JAYA: Amanah yakin penyokongnya akan akur dengan sebarang keputusan berhubung agihan kerusi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan, termasuk jika kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa diserahkan kepada PKR bagi mewakili Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil, berkata pucuk pimpinan PH telah selesai memuktamadkan agihan kerusi dan ia akan diumumkan pada Isnin ini.
“Pembahagian kerusi akan diumumkan PH (pada Isnin). Secara dasarnya, (rundingan kerusi) selesai dengan baik. Yang penting, PH tumpu sebanyak kerusi (yang boleh dimenangi) untuk bentuk kerajaan selepas PRN Johor nanti.
“Rundingan (Puteri Wangsa, Larkin) juga sudah selesai dan parti yakin apa-apa keputusan akan diterima ahli dan penyokong Amanah atas semangat setia kawan,” katanya kepada FMT.
Penyokong dijangka akur
Sementara itu, Naib Ketua Amanah Johor, Zuhan Zain, turut berkata pihaknya juga akan akur dengan apa juga keputusan yang akan membantu memenangkan PH.
“Keputusan sudah ada. Kita pada peringkat Johor sudah tahu dan kita akur dengan apa sahaja keputusan,” katanya ketika dihubungi.
“Atas semangat setia kawan, kalau (kerusi) diberi kepada Amanah, kita akan terus dengan perancangan kita untuk bertanding. Kalau diberi kepada PKR, kita akan bantu untuk menangkan PH.”
Latar belakang kerusi
Sebelum ini, Amanah memaklumkan parti itu mahu mengambil semula kerusi yang ‘dipinjamkan’ kepada Muda berikutan tiada lagi kerjasama parti itu dengan PH.
Bagaimanapun, Naib Ketua PKR Johor, Jimmy Puah, berkata partinya yang akan mewakili PH di DUN Puteri Wangsa. Sebagai ganti, Amanah difahamkan akan bertanding di DUN Larkin yang ditandingi PKR pada PRN Johor 2022.
Pada PRN tersebut, Muda menang di DUN Puteri Wangsa menerusi Amira Aisya Abd Aziz dengan majoriti 7,114 undi.
PRN Johor akan diadakan pada 11 Julai, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun. Pengundi awal akan membuang undi pada 7 Julai.



