Agihan kerusi BN-PN mesti ikut realiti semasa, kata pemimpin Umno Kedah
Agihan kerusi BN-PN mesti ikut realiti semasa

PETALING JAYA: Formula agihan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu mengambil kira realiti politik semasa dan tidak hanya berpandukan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, kata Ketua Penerangan Umno Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

Beliau menegaskan bahawa landskap dan sentimen politik berubah dengan pantas, menjadikan keputusan pilihan raya terdahulu tidak wajar dijadikan satu-satunya asas dalam menentukan pembahagian kerusi atau bentuk kerjasama di Kedah.

“Formula agihan kerusi perlu berdasarkan keadaan dan realiti semasa. Rekod PRN lalu tidak seharusnya menjadi satu-satunya sandaran bagi menentukan apa juga formula,” katanya kepada FMT.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Ulasan Isu Agihan Kerusi

Beliau mengulas isu agihan kerusi antara BN dan PN di Kedah sekiranya persefahaman pada PRN Johor serta Negeri Sembilan diperluaskan ke negeri lain. FMT sebelum ini melaporkan kenyataan penganalisis Mazlan Ali yang menyatakan ujian terbesar hubungan BN-PN adalah di negeri kubu kuat PAS termasuk Kedah.

Ahli akademik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu antaranya membangkitkan cabaran agihan kerusi memandangkan BN tidak mempunyai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen di negeri terbabit.

Pada PRN Kedah 2023, BN yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) gagal memenangi sebarang kerusi. PN yang dipimpin Ketua Pengarah Pilihan Rayanya, Sanusi Nor, menguasai 33 kerusi DUN Kedah, manakala PH memperoleh tiga kerusi.

Pendekatan Umno Kedah

Mengulas lanjut, Shaiful berkata, Umno Kedah buat masa ini mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ terhadap kemungkinan kerjasama dengan PN kerana belum ada sebarang perbincangan di peringkat negeri.

“Sehingga kini, belum ada perbincangan dibuat dan Umno Kedah juga belum menerima sebarang arahan daripada kepimpinan tertinggi.

“Namun, sekiranya diarahkan, Umno Kedah tiada masalah untuk bekerjasama dalam apa juga ruang lingkup yang ditetapkan,” katanya.

BN dan PN sebelum ini bekerjasama pada PRN Negeri Sembilan sebelum membentuk kerajaan selepas kedua-dua gabungan memenangi 25 daripada 36 kerusi DUN.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga