Sultan Perak terima sumbangan zakat perniagaan RM18.76 juta
Sultan Perak terima zakat perniagaan RM18.76 juta

IPOH, 17 Jun — Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menerima sumbangan zakat perniagaan berjumlah RM18.76 juta daripada enam entiti korporat untuk Zakat Perak Al Ridzuan (Zapar) di Istana Kinta, Ipoh semalam.

Sumbangan enam syarikat

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam satu kenyataan memaklumkan sumbangan itu dipelopori oleh Empayar Indera Sdn Bhd yang diwakili pengurus besarnya Datuk Hasrin Abdul Rahman berjumlah RM200,000.

Diikuti Kumpulan Kewangan Islam Maybank yang diwakili presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulannya Datuk Seri Khairussaleh Ramli menyumbang RM4.087 juta.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Lembaga Tabung Haji yang diwakili pengarah urusan kumpulan dan ketua pegawai eksekutifnya Mustakim Mohamad menyumbang RM6,497,476.64, manakala Public Islamic Bank Bhd yang diwakili ketua pegawai eksekutifnya Syamsul Azuan Ahmad Fauzi menyerahkan RM300,000.

TNB yang diwakili presiden dan ketua pegawai eksekutifnya Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad menyumbang RM7.285 juta, dan YP Nominees Holdings Sdn Bhd yang diwakili ketua pegawai eksekutifnya Rozita Ramli menyumbang RM385,802.13.

Sultan Nazrin kemudian menyerahkan sumbangan zakat itu kepada presiden MAIPk Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Pelantikan ahli MAIPk

Majlis itu turut menyaksikan penyerahan surat pelantikan kepada pengarah Jabatan Belia dan Sukan Perak Asmori Sa’ahari sebagai ahli MAIPk.

MAIPk berkata sumbangan zakat itu mencerminkan kepercayaan dan komitmen berterusan pembayar zakat dalam memperkukuh pembangunan ummah.

Zapar kekal komited mengurus dan mengagihkan dana zakat secara cekap, telus dan akauntabel bagi memastikan bantuan sampai kepada asnaf yang layak.

Antara Januari dan Mac 2026, sejumlah RM63,144,266.41 telah diagihkan kepada golongan asnaf di Perak melalui pelbagai skim bantuan.

Pencapaian ini menunjukkan kepercayaan yang diberikan oleh pembayar zakat terus diterjemahkan kepada manfaat nyata bagi mereka yang memerlukan, menurut MAIPk.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga