GRS terima Upko sebagai komponen baharu
PETALING JAYA: Upko menjadi ahli keenam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas permohonannya bulan lalu diterima secara rasmi dan berkuat kuasa serta merta. Pengerusinya Hajiji Noor berkata mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) GRS hari ini sebulat suara membuat keputusan terbabit, lapor Sinar Harian.
Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata keputusan itu selaras dengan perjuangan GRS yang berteraskan slogan Sabah United, Sabah First. Menurutnya, penyertaan Upko akan memperkukuh kedudukan parti-parti tempatan dalam gabungan berkenaan.
“Kita mahu mewujudkan dan mengekalkan kestabilan kerajaan negeri yang ada pada hari ini,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, Sabah.
Majlis Tertinggi Upko yang bersidang pada 25 Mei lalu sebulat suara memutuskan untuk menyertai GRS. Empat hari kemudiannya, Presiden Upko Ewon Benedick menyerahkan permohonan secara rasmi kepada Hajiji.
Beliau dipetik berkata Upko mahu menyumbang kepada penyatuan dan kerjasama parti-parti tempatan Sabah bagi memperkukuh usaha membangunkan masa depan negeri itu. Selain itu memperjuangkan hak-hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Sebelum PRN Sabah pada November tahun lalu, Upko mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH), berkuat kuasa serta-merta. Pilihan raya itu menyaksikan Upko menang 3 daripada 25 kerusi ditandingi dan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri dipimpin Hajiji. Ewon dilantik sebagai timbalan ketua menteri dalam Kabinet Sabah.



