KUALA LUMPUR, 9 Julai — Kerajaan menegaskan Projek Pembangunan Tanah Perkuburan Islam Wilayah Persekutuan di Hulu Semenyih, Selangor telah dirancang sejak 2005 bagi mengatasi kekurangan tanah perkuburan Islam di Kuala Lumpur serta membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Semenyih.
Projek dirancang sejak 2005
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, dalam hantaran Facebook semalam berkata penjelasan itu dibuat berikutan kekeliruan yang tular di media sosial mengenai projek tersebut.
Beliau berkata selain memenuhi keperluan penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WP KL), projek itu juga akan memberi manfaat kepada komuniti setempat dengan 10 peratus daripada kapasiti tanah perkuburan diperuntukkan untuk pengebumian penduduk dari kawasan sekitar di Selangor.
Keperluan mendesak tanah perkuburan Islam
Menurut Hannah, tanah perkuburan Islam sedia ada di WP KL telah melebihi 70 peratus penghunian. Sehingga Jun 2023, hanya kira-kira 29 peratus atau 34,496 plot masih tersedia, dan dijangka dapat memenuhi keperluan hanya sehingga sekitar tahun 2032.
“Oleh itu, penyediaan tapak perkuburan baharu adalah satu keperluan yang mendesak untuk menjaga kebajikan masyarakat Islam pada masa hadapan,” katanya.
Perjanjian kerjasama awam-swasta
Hannah berkata projek itu akan dilaksanakan melalui perkongsian awam-swasta di atas tanah seluas 332.6 ekar milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.
Di bawah perjanjian tersebut, pemaju akan menanggung sepenuhnya kos penyediaan infrastruktur termasuk kuarters kakitangan, surau, pejabat pentadbiran, kafeteria, tandas, rumah pengawal dan kerja tanah untuk 104,470 plot perkuburan Islam bagi WP KL.
Beliau menegaskan tanah projek akan kekal di bawah pemilikan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, manakala pengurusan, pentadbiran dan operasi tanah perkuburan Islam akan kekal di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), dan tidak diuruskan oleh mana-mana syarikat swasta.
Pembinaan jalan penghubung
Mengenai pembinaan jalan penghubung dari Jalan Sungai Lalang ke Lebuhraya SILK, Hannah berkata jumlah kos projek sebanyak RM93.89 juta tidak akan ditanggung oleh kerajaan, tetapi dibiayai oleh pemaju sebagai syarat pembangunan yang dikenakan oleh kerajaan Selangor.
Katanya, jalan penghubung sepanjang 4.3 kilometer itu akan dibina bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menyediakan laluan alternatif yang lebih lancar untuk penduduk setempat.
“Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menegaskan bahawa projek ini telah melalui penilaian teknikal, Makmal Pengurusan Nilai dan proses kelulusan kerajaan negeri Selangor serta Kerajaan Persekutuan.
“Setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan kepentingan awam untuk memastikan kebajikan rakyat terpelihara sambil menyediakan kemudahan asas yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya. — Bernama



