PUTRAJAYA, 9 Julai — Malaysia dan Thailand telah menyelesaikan isu tertunggak berkaitan akses pasaran perikanan dan bersetuju untuk menguatkuasakan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Pertanian dalam tempoh satu minggu.
MoU itu dimeterai hari ini sempena lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul ke Malaysia.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Anutin menyaksikan pertukaran MoU antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan rakan sejawatannya dari Thailand, Suriya Juangroongruangkit.
Komitmen terhadap keterjaminan makanan
Bercakap pada sidang akhbar bersama, Anwar berkata perjanjian itu mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh keterjaminan makanan dan mengembangkan perdagangan dua hala.
“Kami telah menyelesaikan isu tertunggak mengenai perikanan dengan komitmen kedua-dua menteri. Mereka (Thailand) mahu memorandum itu berkuat kuasa dalam satu setengah bulan, dan kami bersetuju ia harus berkuat kuasa dalam seminggu,” katanya.
Anutin turut mengalu-alukan usaha itu, dengan menyatakan bahawa keterjaminan makanan menjadi tumpuan utama perbincangan.
“Mengenai keterjaminan makanan, kami mengalu-alukan pertemuan antara Menteri Pertanian kami untuk mencari penyelesaian secara baik, yang mana kami telah memuktamadkan sebentar tadi bagi kes-kes yang belum selesai mengenai akses pasaran untuk produk perikanan dan pertanian,” katanya.
Skop kerjasama MoU
Sementara itu, dalam satu kenyataan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memaklumkan bahawa MoU itu menyediakan rangka kerja komprehensif untuk kerjasama dalam bidang strategik, termasuk pengeluaran tanaman, ternakan, perikanan, fasilitasi perdagangan dan pemasaran produk pertanian.
Perjanjian itu juga merangkumi penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan kapasiti, biokeselamatan, langkah-langkah sanitari dan fitosanitari (SPS), serta bidang-bidang lain yang berkepentingan bersama.
Kementerian berkata rangka kerja itu akan mengukuhkan komunikasi dan koordinasi antara pihak berkuasa berkaitan melalui mekanisme yang lebih berstruktur, telus dan berterusan, membolehkan isu pertanian dan agri-makanan ditangani dengan lebih cepat, berkesan dan proaktif.
“Kedua-dua pemimpin juga telah mengadakan rundingan dua hala minggu lalu, memberi tumpuan kepada memperluas kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, pertanian, keterjaminan makanan, serta isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama,” katanya.
Latar belakang sekatan import
Pada 1 Jun lalu, Malaysia mengetatkan kawalan import ke atas produk perikanan Thailand dengan mewajibkan Sijil Analisis (CoA) bagi ikan siakap dan mengenakan sekatan import sementara ke atas lima spesies udang tertentu.
Sekatan sementara itu meliputi Penaeus esculentes (udang harimau coklat), Fenneropenaeus merguiensis (udang pisang), Penaeus vannamei (udang putih), Penaeus monodon (udang harimau gergasi) dan Penaeus stylirostris (udang biru).
Perdagangan pertanian terus berkembang
Perdagangan pertanian dan agri-makanan antara Malaysia dan Thailand terus berkembang, mencecah RM20.33 bilion antara Januari dan Disember 2025.
Eksport utama Malaysia ke Thailand termasuk kopi, koko, teh, rempah dan produk makanan diproses, manakala import utama terdiri daripada daging dan produk berasaskan daging. — Bernama



