Kedaulatan Negara Bukan Alat Tawar-Menawar: Iktibar Daripada Perang Iran-AS
Dalam konflik terkini antara Amerika Syarikat-Israel dan Iran, kita menyaksikan satu fenomena yang mendalam: ancaman dari luar negara mampu mengurangkan perbezaan dalaman dan menyatukan titik persamaan. Ini merupakan pengajaran berharga yang harus kita ambil sebagai iktibar, bukan sahaja untuk geopolitik Timur Tengah, tetapi juga untuk negara kita sendiri, Malaysia.
Pelajaran Daripada Sejarah Global
Sejarah telah mempamerkan contoh yang jelas tentang bahaya campur tangan asing. Lihatlah Iraq, yang suatu ketika dahulu memiliki struktur negara yang kukuh dan identiti nasional yang kuat. Namun, selepas campur tangan kuasa luar, seluruh sendi negara runtuh, membawa kepada kehilangan keamanan yang berpanjangan. Rakyat yang pada mulanya menyambut perubahan rejim akhirnya menanggung akibat yang pahit.
Begitu juga dengan negara-negara lain yang menjadi medan percaturan kuasa besar. Naratifnya sering sama: ada pihak dalaman yang melihat bantuan luar sebagai jalan pintas untuk menukar rejim. Tetapi, sejarah berulang kali menunjukkan bahawa kuasa asing tidak datang dengan niat kosong. Mereka mempunyai agenda tersendiri, termasuk kepentingan ekonomi, strategik, dan penanaman ideologi. Selepas matlamat mereka tercapai, mereka sering menjajah dan memegang kuasa, menjadikan negara bergantung kepada mereka.
Solidariti dalam Ancaman
Dalam perang AS-Israel melawan Iran, kita melihat bagaimana tekanan luar mengukuhkan solidariti dalaman. Walaupun pandangan terhadap pemerintahan Iran mungkin berbeza-beza, ancaman asing telah menyatukan rakyat. Apabila kedaulatan negara dicabar, seluruh rakyat cenderung berdiri bersama pemimpin mereka. Ini mengajar kita bahawa dalam masa genting, perbezaan dalaman boleh diketepikan demi kepentingan bersama.
Di Malaysia, kita terdiri daripada pelbagai kaum, agama, dan pandangan politik. Dalam semua perbezaan ini, kita harus sentiasa ingat bahawa kita berkongsi satu perkara yang tidak boleh dipertikaikan: Malaysia adalah milik kita. Ini adalah hakikat yang perlu dipegang teguh.
Prinsip dan Patriotisme
Ada pihak yang berpendapat bahawa jika kerajaan dilihat lemah atau korup, tidak salah mendapatkan bantuan luar untuk membetulkan keadaan. Logik ini, yang menganggap matlamat menghalalkan cara, adalah berbahaya. Ini bukan sekadar soal strategi politik, tetapi soal prinsip asas. Kita sendiri bertanggungjawab menyelesaikan masalah negara dengan cara kita sendiri, tanpa melibatkan kuasa asing.
Rukun Negara dengan jelas meletakkan ‘Kesetiaan kepada Raja dan Negara’ sebagai prinsip kedua. Ini bukan sekadar slogan untuk dihafal di sekolah, tetapi kompas moral yang harus dipandu dalam semua situasi, terutamanya pada saat-saat genting. Kesetiaan ini tidak bermakna menyokong membuta tuli, tetapi bermakna tidak menggadaikan kedaulatan negara demi kemenangan politik jangka pendek.
Bahaya Campur Tangan Asing
Membenarkan campur tangan asing untuk menjatuhkan kerajaan sendiri adalah satu bentuk putus asa yang berbahaya, malah boleh dianggap sebagai pengkhianatan. Sesetengah pihak mungkin gagal membezakan antara parti politik, kerajaan, dan negara. Kerajaan boleh bertukar ganti melalui proses demokrasi, tetapi negara tetap satu dan kedaulatan mesti dipertahankan.
Jika hari ini kita mengalu-alukan kuasa asing untuk menjatuhkan kerajaan yang tidak disukai, apa jaminan mereka tidak akan menentukan hala tuju kita pada masa depan? Apa jaminan mereka akan pergi selepas misi selesai? Inilah sebabnya mengapa kedaulatan negara bukan sesuatu yang boleh dirunding atau diperjudikan. Ia bukan alat tawar-menawar atau harta yang boleh ditebus.
Proses Demokrasi yang Sihat
Demokrasi membenarkan kita mengkritik kerajaan, mempersoalkan dasar, dan menukar kerajaan melalui proses yang sah seperti pilihan raya. Ini adalah tanggungjawab rakyat dalam negara demokrasi. Malaysia telah membuktikan keupayaan ini dengan menukar kerajaan melalui pilihan raya tanpa kekacauan, menunjukkan kematangan sistem politik kita.
Semua tindakan ini harus dilakukan dalam kerangka negara berdaulat, tanpa menjemput campur tangan luar. Ini memastikan kestabilan dan kemandirian negara dalam jangka panjang.
Kesimpulan: Rapatkan Saf Demi Negara
Perang Iran-AS mengingatkan kita bahawa kuasa besar sentiasa mencari ruang untuk meluaskan pengaruh. Iran berjaya menyatukan rakyatnya dalam melawan ancaman asing. Kita di Malaysia juga harus ‘rapatkan saf’. Walaupun kita berbeza pandangan dalam banyak perkara, kita tinggal dalam rumah yang sama dan harus bersama mempertahankannya.
Apabila ‘rumah’ ini runtuh, tiada lagi ruang untuk berdebat atau bermain politik. Krisis seperti perang boleh memberi kesan besar kepada ekonomi dan kestabilan negara. Oleh itu, tiada pihak seharusnya cuba menangguk di air yang keruh. Bezakan ideologi politik, tetapi bersatu dalam mempertahankan kedaulatan negara. Rakyat dan negara harus didahulukan, manakala sentimen politik dikemudiankan.
Hubbul wathon minal iman – cintakan negara adalah sebahagian daripada iman. Marilah kita pegang teguh prinsip ini demi masa depan Malaysia yang lebih baik.



