Imigresen serbu kondominium mewah di KL dijadikan transit pendatang tanpa izin
Imigresen serbu kondominium mewah transit pendatang tanpa izin

Jabatan Imigresen Malaysia melakukan serbuan ke atas dua buah kondominium mewah di Kuala Lumpur yang dijadikan rumah transit untuk menempatkan pendatang tanpa izin di sini pada Selasa.

Serbuan tengah malam

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 10 warga Bangladesh, termasuk dua lelaki yang bertindak sebagai pengawal premis, ditahan dalam operasi khas yang bermula jam 12.30 pagi.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati seorang lelaki yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara dalam sektor pembinaan, manakala dua wanita berada dalam senarai hitam Imigresen tetapi masuk semula melalui pintu masuk haram, dan selebihnya tidak memiliki pas atau dokumen perjalanan yang sah.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Premis mewah jadi transit

“Premis kediaman mewah itu dijadikan rumah transit sementara yang telah beroperasi sejak beberapa bulan untuk menempatkan warga asing yang dipercayai masuk melalui pintu masuk haram sebelum dihantar ke destinasi masing-masing.

“Premis dikawal oleh penjaga warga asing yang bertanggungjawab menguruskan penempatan sementara sehingga proses pembayaran selesai, dengan bayaran dikenakan antara RM700 hingga RM1,500 seorang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Rampasan dan tindakan undang-undang

Beliau berkata, pasukannya turut merampas tiga pasport Bangladesh milik individu lain dan wang tunai berjumlah RM1,595 yang dipercayai hasil daripada aktiviti tersebut.

Kesemua warga asing, yang terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita berusia 23 hingga 42 tahun, dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Transporter tempatan ditahan

Sementara itu, seorang lelaki tempatan yang disyaki bertindak sebagai 'transporter' ditahan bersama empat pekerja migran India ketika serbuan di sekitar Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini pada Selasa petang.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati seorang warganegara India yang ditahan telah disenaraihitamkan tetapi memasuki semula negara tanpa melalui pintu masuk yang ditetapkan.

Kos bawa masuk RM6,000 seorang

“Aktiviti ini dipercayai beroperasi sejak tahun lalu, membawa masuk warga asing, terutamanya dari India, ke Malaysia dengan bayaran RM6,000 seorang tanpa melalui pintu masuk yang ditetapkan, sebelum diambil oleh 'transporter' di perhentian bas dan dibawa ke destinasi yang dikehendaki,” katanya.

Zakaria berkata, pasukannya turut merampas dua telefon bimbit, empat salinan pasport India, dan sebuah kenderaan Perodua Bezza yang dipercayai digunakan dalam aktiviti tersebut.

Menurut beliau, semua individu yang ditahan, berusia antara 18 dan 48 tahun, dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut dan siasatan di bawah Seksyen 26J Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga