Semua SMT kini di bawah bahagian sekolah berasrama penuh
SMT kini di bawah bahagian SBP

KUALA LUMPUR, 13 Jun — Kesemua sembilan Sekolah Menengah Teknik (SMT) di seluruh negara kini secara rasmi ditempatkan di bawah pengurusan Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) Kementerian Pendidikan (KPM).

Langkah strategik tingkatkan TVET

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata langkah itu bukan sekadar perpindahan operasi, tetapi inisiatif strategik yang dirancang rapi untuk memperkasakan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Di bawah penyusunan semula ini, sekolah-sekolah tersebut akan dikenali sebagai Sekolah Berasrama Penuh Teknik (SBP-T), dengan fokus kepada kecemerlangan akademik dan teknikal yang tinggi.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Inisiatif ini meletakkan SBP-T setaraf dengan sekolah berasrama penuh (SBP) yang lain,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.

Perkukuh bidang STEM

Fadhlina berkata peranan SBP-T akan terus diperkukuh bagi memastikan institusi ini mampu melahirkan bakat cemerlang dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk memenuhi keperluan tenaga kerja mahir negara pada masa hadapan.

Sebelum ini, SMT diuruskan oleh Bahagian Pendidikan Teknikal dan Vokasional (BPLTV).

Penyusunan semula ini dijangka menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan teknikal, memperkukuh pembangunan bakat, dan melahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri dan pembangunan negara pada masa hadapan. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga