KOTA KINABALU, 23 Julai — Kerajaan Sabah menyasarkan untuk meningkatkan Nisbah Sara Diri (SSR) daging ruminan negeri kepada 25 peratus menjelang 2030, meningkat daripada 7.05 peratus pada masa ini, Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.
Peruntukan RM24.3 juta naik taraf ladang ternakan
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Hendrus Anding berkata kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mencapai sasaran tersebut, termasuk memperuntukkan RM24.3 juta untuk menaik taraf ladang ternakan milik kerajaan di seluruh negeri.
Beliau berkata peruntukan yang disalurkan melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah itu merangkumi RM12.5 juta untuk pembangunan 11 ladang ruminan berskala besar di Keningau, Kudat, Telupid, Tawau dan Kota Belud.
“Sebanyak RM7 juta lagi diperuntukkan untuk pembangunan lima ladang ruminan berskala kecil di Bongawan, Ranau, Telupid, Kunak dan Lahad Datu, manakala RM4.8 juta disediakan untuk dua ladang bukan ruminan iaitu Ladang Ayam Bantayan dan Ladang Itik Yonsom,” katanya.
Beliau menjawab soalan lisan daripada Dr Daud Yusof (Warisan-Bongawan) mengenai usaha menaik taraf ladang ternakan ruminan dan bukan ruminan milik kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran dan memperkukuh keselamatan makanan negeri.
Sasaran peningkatan pengeluaran daging
Hendrus menjelaskan program naik taraf itu dijangka meningkatkan pengeluaran daging ruminan besar sebanyak 199 peratus, daripada 126 ekor tahun ini kepada 377 ekor setahun menjelang 2030, manakala pengeluaran induk ternakan diunjur meningkat 78 peratus kepada 752 ekor setahun.
Bagi ruminan kecil, pengeluaran daging dijangka melonjak 486 peratus, daripada 121 ekor setahun kepada 710 ekor setahun, manakala pengeluaran induk ternakan diunjur meningkat 233 peratus kepada 916 ekor setahun menjelang 2030.
“Selain naik taraf ladang, sasaran SSR daging ruminan juga akan disokong melalui program integrasi kelapa sawit, Mepkas dan pembangunan sumber genetik,” katanya.
Bekalan ayam pedaging sudah mencukupi
Bagi ternakan bukan ruminan, Hendrus berkata keperluan tahunan negeri sebanyak 35 juta ayam pedaging sudah dipenuhi sepenuhnya oleh sektor swasta, dengan SSR semasa sebanyak 105.3 peratus.
“Ladang ayam dan itik DVS kini berfungsi sebagai pusat latihan, kemudahan pembiakan khusus dan pembekal haiwan muda untuk program kerajaan seperti Kebun Dapur, serta sokongan kepada usahawan ternakan berskala kecil,” katanya.
Beliau juga menyatakan kesediaan kerajaan untuk membangunkan kawasan penternakan bersepadu di daerah yang berpotensi besar, termasuk Semporna, bagi memperkukuh lagi keselamatan makanan negeri. — Bernama



