Pengurusan zakat dan asnaf perlukan pendekatan lebih inovatif, titah Raja Muda Perlis
Pengurusan zakat asnaf perlukan pendekatan inovatif

KANGAR: Pengurusan zakat dan pembangunan asnaf kini memerlukan pendekatan lebih inovatif dan bersepadu, demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Baginda bertitah penyelidikan berkualiti akan membantu pihak berkepentingan memahami cabaran sebenar dihadapi asnaf seterusnya merangka dasar, program dan intervensi yang mampu meningkatkan taraf kehidupan mereka secara mampan.

Pusat Penyelidikan Asnaf FCoEE – MAIPs sebagai platform strategik

Sehubungan itu, baginda bertitah Pusat Penyelidikan Asnaf Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) merupakan satu inisiatif yang amat signifikan dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan berkaitan pembangunan asnaf. “Pusat ini bukan sahaja berperanan sebagai pusat pengumpulan data dan penghasilan ilmu malah menjadi platform strategik untuk merangka penyelesaian lebih berkesan, berimpak tinggi dan berasaskan bukti dalam usaha memperkasa golongan asnaf,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan majlis prapelancaran Pusat Penyelidikan Asnaf FCoEE – MAIPs dan peluncuran Buku Prosiding International Conference On Holistic Opportunities For Proverty Empowerment (ICOHOPE) Jilid 1,2 dan 3 serta Buku Memahami Aspirasi Pendidikan Tinggi Anak-Anak Asnaf dan penganugerahan Geran Penyelidikan FCoEE Fasa 3 2026. Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir Pengerusi Eksekutif FCoEE Kamarudin Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Geran penyelidikan sebagai pelaburan strategik

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah geran penyelidikan bukan sekadar bantuan kewangan tetapi merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan ilmu dan inovasi. Baginda berharap agar setiap geran disalurkan itu akan dimanfaat sebaik mungkin untuk menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi, memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi dan menyumbang kepada pembangunan dasar yang lebih berkesan demi kesejahteraan ummah. “Melalui geran ini, lebih banyak kajian berkualiti dapat dilaksanakan bagi menghasilkan dapatan yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan,” titah baginda.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga