Pakar gesa perhatian psikologi tentera ketika latihan kurangkan risiko kemalangan
Pakar gesa perhatian psikologi tentera ketika latihan

PETALING JAYA: Aspek psikologi anggota tentera perlu diberi perhatian selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan latihan teknikal bagi mengurangkan risiko kemalangan ketika latihan ketenteraan, kata pakar.

Psikologis ketenteraan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Mohd Kenali Basiron, berkata anggota yang terlalu gugup, takut atau terlalu yakin berpotensi melakukan kesilapan ketika mengendalikan senjata atau bahan letupan.

“Orang yang terlalu berani boleh menjadi cuai, manakala mereka yang terlalu gugup atau takut juga boleh melakukan kesilapan. Sebab itu, anggota dan jurulatih perlu mempunyai pengetahuan psikologi untuk mengenal pasti tanda seseorang itu berada dalam keadaan emosi yang tidak sesuai sebelum menjalani latihan,” katanya kepada FMT.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Kenali berkata, setiap latihan melibatkan bahan letupan sebenarnya mempunyai prosedur ketat termasuk sesi penerangan, latihan simulasi dan pemantauan jurulatih sebelum latihan sebenar dijalankan. Katanya, latihan psikologi dan pemerhatian terhadap keadaan emosi anggota juga penting bagi memastikan mereka bersedia mengendalikan situasi berisiko tinggi.

“Jika seseorang anggota terlalu gementar atau tidak berada dalam keadaan yang sesuai, dia perlu dikenal pasti lebih awal. Begitu juga jika ada anggota yang terlalu yakin sehingga tidak memberi perhatian kepada arahan dan prosedur keselamatan,” katanya.

Selasa lalu, dua anggota tentera darat maut terkena bom ketika menjalani latihan membaling grenad membabitkan Platun Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri, Kem Hobart di Gurun, Kedah. Kedua-dua anggota membabitkan seorang lelaki dan wanita meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Panglima Tentera Darat, Azhan Md Othman, mengarahkan siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Tentera Darat Malaysia turut memberi jaminan segala aspek keselamatan latihan akan terus diberi perhatian dan penambahbaikan sewajarnya akan dilaksanakan berdasarkan hasil siasatan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Shahruddin Omar, berkata insiden tersebut perlu dilihat sebagai kemalangan sehingga hasil siasatan diperoleh. Katanya, setiap kejadian seumpama itu lazimnya akan disusuli lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar dan menentukan sama ada terdapat keperluan penambahbaikan.

“Dalam angkatan tentera, setiap kejadian pasti ada lembaga siasatan untuk membuat kesimpulan secara adil. Kalau ada kelemahan dari segi infrastruktur, prosedur atau faktor lain, sudah tentu perkara itu akan diberi perhatian dan diperbaiki berdasarkan hasil siasatan,” katanya kepada FMT.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga