KUALA LUMPUR, 29 Julai — Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memperketat kawalan terhadap aktiviti pendakian di seluruh negara bagi mengurangkan kemalangan dan keperluan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memerlukan kos tinggi.
Larangan Pendakian Mampat di Kawasan Berisiko
Timbalan Menterinya, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata langkah ini termasuk melarang aktiviti "day hike" atau "compressed hike" di kawasan pergunungan berisiko tinggi. Beliau berkata sesetengah pendaki masih memandang rendah kepentingan persediaan rapi, manakala yang lain terdorong oleh trend media sosial atau memasuki denai tidak sah, meningkatkan risiko kecemasan dan tersesat di hutan.
"Keutamaan kerajaan adalah mengurangkan risiko pendaki tersesat dan mencegah kemalangan, seterusnya mengurangkan keperluan operasi SAR yang memerlukan sumber kewangan dan tenaga kerja yang besar," katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Prof Emeritus Dr Mohammad Redzuan Othman mengenai langkah meningkatkan keselamatan pendaki dan mengurangkan insiden yang membebankan kewangan kerajaan dalam operasi SAR.
Langkah di Perak dan Perhilitan
Syed Ibrahim memaklumkan Jabatan Perhutanan Perak telah mengenakan larangan aktiviti "compressed hike" di kawasan berisiko tinggi, manakala Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) turut melaksanakan sekatan serupa di tapak eko-pelancongan bawah bidang kuasanya.
Kerajaan juga memperkukuh prosedur saringan pra-pendakian dengan mewajibkan pengisytiharan kesihatan, pemeriksaan sejarah perubatan, dan perlindungan insurans. Selain itu, saringan simptom Penyakit Ketinggian (HAI) dan Penyakit Gunung Akut (AMS) dicadangkan khusus bagi pendaki Gunung Kinabalu di Sabah dan Gunung Tahan di Pahang.
"Langkah ini membolehkan pendaki berisiko tinggi dikenal pasti awal sebelum dibenarkan melakukan aktiviti mendaki," kata beliau.
Pemandu Gunung Perhutanan Diwajibkan
Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) juga mewajibkan perkhidmatan Pemandu Gunung Perhutanan (MGP) di 189 lokasi pendakian berisiko tinggi seluruh negara. Setakat ini, seramai 2,322 individu dari komuniti setempat, termasuk Orang Asli, telah mendapat pensijilan sebagai MGP melalui Program Pembangunan Kemahiran MGP.
"Sebagai pemandu bertauliah, MGP memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan pendaki, merespon kecemasan, dan menggalakkan pematuhan amalan pendakian yang betul," tambah Syed Ibrahim.
Penyelesaian Berasaskan Teknologi
Kerajaan sedang membangunkan penyelesaian berasaskan teknologi termasuk sistem pengurusan denai pendakian menggunakan Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan keupayaan penderiaan jauh dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA). Ujian juga dijalankan ke atas penggunaan peranti penjejak GPS untuk pendaki bagi mencegah kecemasan dan memastikan keselamatan.
Langkah-langkah ini dijangka mengurangkan beban kewangan operasi SAR selain meningkatkan keselamatan hutan dan pendaki di negara ini. — Bernama



