Kementerian Pertahanan sasar 50 peratus bekas tentera dapat kerja swasta
Kementerian Pertahanan sasar separuh bekas tentera kerja swasta

BANGI, 27 April — Kementerian Pertahanan (Mindef) mempergiatkan program peralihan untuk anggota tentera yang menghampiri tamat perkhidmatan, dengan sasaran memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus peserta mendapat pekerjaan dalam sektor perindustrian dan swasta.

Fokus kepada latihan berasaskan industri

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Mindef melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) kini memberi penekanan lebih besar kepada latihan peralihan berasaskan industri. Anggota tentera dikehendaki mengikuti program yang selaras dengan keperluan pasaran buruh semasa.

Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Mindef termasuk program Prowira Sedia-Kerja, Program Reskilling dan Upskilling Veteran, serta Program JanaVeteran.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Sebelum ini, hanya 20 hingga 30 peratus peserta yang berjaya mendapatkan pekerjaan selepas menjalani latihan peralihan. Kami menyasarkan 5,000 anggota setahun yang perlu melalui latihan peralihan sebelum menerima pencen.

“Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada mereka mendapat pekerjaan dalam sektor perindustrian dan syarikat swasta dengan pendapatan yang baik,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Pertama Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan-Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini hari ini.

Program diploma untuk anggota sedang berkhidmat

Mohamed Khaled berkata, kerajaan juga membiayai program diploma untuk anggota yang sedang berkhidmat sebagai persediaan peralihan selepas tamat perkhidmatan.

“Kerajaan membayar kos memperoleh diploma yang berjumlah sekurang-kurangnya RM6,500, dan bagi tahun ini, kami menyasarkan 1,000 anggota yang sedang berkhidmat untuk mendapatkan diploma,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan juga akan menanggung kos program reskilling dan upskilling untuk veteran bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja.

Kerjasama dengan syarikat swasta

Dalam sidang media selepas program itu, Mohamed Khaled berkata Mindef bekerjasama dengan syarikat seperti Boustead Plantations Bhd untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada veteran yang berminat dalam bidang pertanian.

“Jadi terdapat pelbagai usaha, dan kami juga mempunyai program pertanian yang akan dijalankan bersama Boustead Plantation.

“Mana-mana veteran yang memiliki tanah boleh menyertai program Boustead Plantation untuk menanam tanaman kontan seperti halia dan cili, dengan Boustead membeli hasil tanaman tersebut,” katanya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga