Kajian Lelaki Budiman Negara Bermula Selama 18 Bulan
Kajian Lelaki Budiman Negara Bermula 18 Bulan

Kajian Lelaki Budiman Negara akan dijadikan input penting bukan sahaja bagi pembinaan dasar kerajaan melibatkan aspek kepimpinan atau ekonomi golongan itu, malah menjurus kepada pembinaan kekuatan jiwa dan kestabilan emosi. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, berkata kajian tersebut dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) selama 18 bulan bermula bulan ini.

Prinsip Kehormatan Gender

Katanya, pemerkasaan lelaki perlu berteraskan prinsip kehormatan gender, iaitu budaya saling menghormati, menghargai, dan memuliakan maruah setiap insan. “Lelaki budiman bukanlah lelaki mendominasi, sebaliknya lelaki yang memimpin dengan hikmah, berkongsi tanggungjawab, dan menghormati wanita sebagai rakan kongsi dalam membina keluarga,” katanya ketika merasmikan Forum Konsultatif Pemerkasaan Lelaki di Putrajaya.

Pelancaran Jaringan Pemerkasaan Lelaki

Dalam pada itu, Nancy turut melancarkan Jaringan Pemerkasaan Lelaki atau ‘Men Empowerment Network’ (MEN) sebagai platform kolaborasi strategik nasional bagi menyelaras penyelidikan, pembangunan dasar, perkongsian amalan terbaik serta pelaksanaan program intervensi. Sehingga kini, lebih 20 NGO yang mempunyai kepakaran dalam program kebapaan dan pembangunan remaja lelaki menyertai jaringan itu sebagai rakan strategik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Cabaran Bapa dalam Era Digital

Nancy turut menyentuh cabaran bapa mendepani perubahan landskap sosial dan cabaran membesarkan anak-anak dalam pengaruh media digital. “Ramai juga bergelut menyesuaikan diri sebagai ketua keluarga tanpa sokongan yang mencukupi. Cabaran ini menuntut lelaki bukan sahaja cekal dari segi fizikal, malah mempunyai daya tahan emosi, kemahiran keibubapaan, dan kesejahteraan mental yang baik.”

Data Bunuh Diri dan Keganasan Rumah Tangga

Katanya, cabaran dihadapi lelaki tidak boleh dipandang enteng dengan data Kementerian Kesihatan merekodkan kadar bunuh diri kalangan mereka hampir tiga kali ganda lebih tinggi berbanding wanita. Nancy berkata, tekanan kewangan, kegagalan mengurus nafkah serta konflik rumah tangga berpanjangan antara faktor menyumbang keretakan institusi keluarga. “Kebimbangan ini diperkuatkan lagi dengan statistik kes keganasan rumah tangga yang direkodkan polis pada Januari – Disember 2025 yang mencatatkan 95% pelaku adalah lelaki, berbanding 5% adalah wanita,” katanya sambil menambah pemerkasaan lelaki tidak boleh dilihat hanya daripada sudut ekonomi atau peranan sebagai pencari nafkah semata.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga