Johor menarik kira-kira satu perempat daripada jumlah pelaburan diluluskan Malaysia tahun lalu, sekali gus menggambarkan minat pelabur yang semakin besar terhadap Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Namun bagi rakyat Johor, ukuran sebenar kejayaan zon industri baharu itu sama ada pelaburan berkenaan benar-benar diterjemah kepada gaji lebih baik, kesesuaian pekerjaan, perjalanan harian lebih mudah dan kadar sewa tidak membebankan.
Potensi Pekerjaan dan Kemahiran
Malaysia dan Singapura menyasarkan 20,000 pekerjaan berkemahiran dalam tempoh lima tahun pertama pelaksanaan JS-SEZ, dengan permintaan awal dijangka tertumpu kepada sektor pembuatan, logistik, pusat data, perkhidmatan perniagaan, tenaga, pelancongan dan perkhidmatan profesional. Ketua Ahli Ekonomi Centre for Future Studies Yusof Saari berkata gelombang pertama peluang pekerjaan berkemungkinan datang daripada sektor yang boleh berkembang pantas dengan memanfaatkan asas perindustrian Johor, pelabuhan, rangkaian logistik dan kedudukannya hampir dengan Singapura.
Bagaimanapun, beliau berkata pekerjaan baharu yang diwujudkan bagi menyokong industri itu tidak terhad kepada pekerjaan berkemahiran tinggi seperti kejuruteraan. Katanya, peluang yang lebih besar dan segera ialah pekerjaan berkemahiran sederhana, yang memerlukan kelayakan seperti sijil, diploma, latihan teknikal dan pendedahan industri. “Ini bermakna pekerja tempatan boleh mendapat manfaat jika latihan kemahiran, latihan semula dan latihan diterajui majikan diselaraskan lebih awal dengan keperluan pelabur,” katanya.
Yusof berkata bagi rakyat Johor, perkara paling penting bukan sekadar kemahiran, tetapi sama ada pekerjaan itu menawarkan gaji sesuai. “Agenda melengkapkan pekerja dengan kemahiran sesuai hanya bermakna jika ia meningkatkan kuasa beli, membuka peluang mobiliti sosial dan memastikan pekerja mampu menikmati taraf hidup yang munasabah,” katanya.
Kesan Berantai kepada Industri
Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia Johor berkata perkembangan pesat sektor pusat data memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai hab serantau bagi kecerdasan buatan (AI) dan prasarana digital. “Perkembangan ini mewujudkan permintaan tinggi terhadap tenaga mahir khusus dalam pengurusan fasiliti pusat data, sistem kejuruteraan kritikal, serta teknologi penyejukan dan pengoptimuman tenaga berasaskan AI,” katanya kepada FMT. “Ia juga membuka peluang lebih luas dalam prasarana sokongan, operasi digital dan perkhidmatan teknikal maju merentasi ekosistem data yang lebih besar.”
Ia juga menekankan pertumbuhan sektor logistik, tenaga boleh diperbaharui dan industri berasaskan teknologi dijangka mewujudkan pekerjaan lebih berkualiti serta gaji lebih baik, sekali gus mengurangkan kebergantungan Johor kepada tenaga kerja berkemahiran rendah.
Pengangkutan Kunci Kejayaan JS-SEZ
Pakar pengangkutan Wan Agyl Wan Hassan berkata pengangkutan bukan sekadar komponen sokongan kepada JS-SEZ, tetapi antara asas utama kepada kejayaannya. Ketua pegawai eksekutif Mara Liner itu berkata kelebihan daya saing sebenar JS-SEZ tidak hanya diukur melalui jumlah kilang atau taman perindustrian, tetapi sejauh mana rakyat dihubungkan dengan pekerjaan, perniagaan dengan pasaran, dan bakat dengan peluang.
Wan Agyl berkata kesesakan sering dilihat sebagai masalah kapasiti jalan raya, sedangkan isu lebih besar ialah ketiadaan pilihan pengangkutan cekap sebagai alternatif kepada penggunaan kereta. “Apabila pengangkutan awam boleh dipercayai, mampu digunakan, mempunyai jadual yang jelas dan dihubungkan dengan lancar kepada pilihan perjalanan awal serta akhir, orang ramai secara semula jadi akan mempelbagaikan cara mereka bergerak,” katanya.
Katanya, sebab itu pelaksanaan prasarana sama penting dengan kelulusan pelaburan, terutama jika kluster pekerjaan baharu muncul lebih pantas daripada kemampuan jalan raya, bas, utiliti dan rangkaian perhubungan akhir untuk menampungnya. Dalam Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan RM3.4 bilion bagi prasarana JS-SEZ, termasuk jalan raya, bekalan air, elektrik, jalur lebar dan tebatan banjir.
Di sinilah sistem Transit Rapid (RTS) Link memainkan peranan penting sebagai antara contoh paling jelas bagaimana prasarana pengangkutan digunakan untuk menyokong JS-SEZ. Perkhidmatan rel rentas sempadan Malaysia-Singapura itu dijadualkan mula beroperasi pada 1 Jan 2027. Perkhidmatan ulang-alik sepanjang 4km itu akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura, dengan kapasiti sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap hala. Apabila beroperasi, RTS Link dijangka mengukuhkan hubungan rentas sempadan dengan menyediakan pilihan rel lebih pantas berbanding Tambak Johor, selain berpotensi mengendalikan 30% hingga 40% pergerakan rentas sempadan.
Bagi melengkapkan sistem itu, kerajaan persekutuan turut mencadangkan sistem transit aliran autonomi bertingkat (e-ART) sebagai penyelesaian kepada cabaran perhubungan akhir, selain mengurangkan kesesakan di pusat bandar Johor Bahru. Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook sebelum ini menegaskan komitmen Putrajaya untuk mempercepatkan projek e-ART, termasuk menanggung sebahagian kos pembinaannya. FMT pada 6 Julai melaporkan pakar pengangkutan melihat e-ART sebagai penting bagi memastikan penumpang RTS yang tiba di Bukit Chagar dapat diagihkan dengan cekap ke kawasan lain di Johor Bahru.
Tekanan Hartanah
Pakar hartanah, Consilz Tan, berkata peningkatan pelaburan dan peluang pekerjaan akan menaikkan permintaan terhadap kediaman, lot kedai serta hartanah industri berhampiran kawasan perniagaan dan perindustrian. Katanya, pemilik sedia ada, pemaju, golongan profesional berpendapatan tinggi dan pekerja rentas sempadan mungkin mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan itu, manakala pekerja muda, pembeli rumah pertama dan peniaga kecil tempatan berdepan tekanan.
Beliau berkata tumpuan JS-SEZ di Kulai terhadap pusat data, ekonomi digital dan perkhidmatan perniagaan boleh menarik lebih banyak pengendali pusat data berskala besar global ke kawasan itu. “Pada 2025, Kulai merekodkan kenaikan harga 2.1% hingga 6.3% bagi kilang berkembar satu setengah tingkat, didorong permintaan semakin meningkat terhadap tanah industri yang sesuai untuk gudang dan pusat data,” katanya.
Apa Maknanya kepada PKS
FMM Johor berkata PKS dalam sektor kejuruteraan ketepatan, automasi, pembungkusan, logistik, penyelenggaraan, perisian industri dan perkhidmatan profesional boleh meraih manfaat daripada rantaian bekalan syarikat multinasional di Johor. Namun, FMM memberi amaran tanpa sokongan mencukupi, kerja bernilai tinggi mungkin dikuasai syarikat multinasional dan vendor luar, manakala syarikat tempatan kekal dalam segmen rantaian bekalan bernilai rendah.
Yusof berkata risiko terbesar ialah JS-SEZ menjadi ‘zon pelaburan berkembang pesat, tetapi limpahannya kepada ekonomi Johor secara lebih luas masih lemah’. ‘Kejayaan sebenar JS-SEZ bukan sekadar sama ada ia menarik syarikat besar, tetapi sama ada syarikat itu membantu menaik taraf perniagaan tempatan, pekerja tempatan dan ekonomi Johor secara keseluruhan,’ katanya.



