Program IPR Capai 7,787 Isi Rumah
KUALA LUMPUR, 2 Julai — Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) telah memberi manfaat kepada 7,787 isi rumah selepas hampir tiga tahun dilaksanakan, menurut Kementerian Ekonomi.
Kementerian itu berkata program yang dilaksanakan untuk melengkapkan usaha pembasmian kemiskinan sedia ada ini bertujuan menangani isu keselamatan makanan, mewujudkan peluang pekerjaan dan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
“Selepas hampir tiga tahun pelaksanaan, program IPR telah menerima sambutan yang sangat menggalakkan dan menunjukkan hasil yang membanggakan. Setakat ini, 7,787 isi rumah telah mendapat manfaat daripada program ini,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen semalam.
Pendapatan Melebihi RM2,000 Sebulan
Menurut Kementerian Ekonomi, beberapa peserta berjaya memperoleh pendapatan bulanan melebihi RM2,000, sekali gus membantu mereka keluar dari perangkap kemiskinan.
Jawapan itu adalah sebagai respons kepada soalan daripada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang), yang meminta kementerian menyatakan hasil kejayaan dan keberkesanan IPR selepas hampir tiga tahun pelaksanaan, serta penggunaan Pangkalan Data Utama (PADU) dalam dasar ekonomi negara.
Penggunaan PADU dalam Dasar Ekonomi
Mengenai PADU, kementerian itu memaklumkan bahawa 204 agensi telah melaksanakan perkongsian dan integrasi data secara berterusan dengan PADU.
“Sehingga Jun 2026, sebanyak 27 permohonan perkongsian data daripada agensi kerajaan telah diluluskan bagi pelaksanaan program dan dasar untuk tujuan meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam, kepentingan kebajikan rakyat, inovasi pendigitalan perkhidmatan, serta kajian dan penyelidikan,” kata kementerian itu. — Bernama



